LAHAD DATU, 29 OGOS – Penjara baharu berkapasiti 1,000 banduan di sini dijangka mula beroperasi pada 1 Oktober ini dalam usaha mengatasi kesesakan banduan di Penjara Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata Penjara Lahad Datu itu akan memulakan operasi dengan tempoh percubaan selama sebulan melibatkan 100 banduan dan akan ditingkatkan kepada 450 banduan selepas itu, sebelum beroperasi dengan kapasiti penuh dijadual Januari tahun depan.
“Kapasiti 1,000 tambahan ini sangat membantu melegakan buat Jabatan Penjara kerana kesesakan akan datang masalah seperti jangkitan penyakit dan keadaan tidak kondusif memberikan tekanan kepada penghuni, yang boleh berakhir dengan kejadian bunuh diri, cubaan melarikan diri atau pergaduhan.
“Jadi, sebagai sebuah kerajaan, khususnya kerajaan Madani yang mengamalkan pendekatan ihsan ini, terjemahannya mesti dilihat, sekalipun terhadap penghuni penjara iaitu dengan menambahkan ruang supaya mereka tidak bersesak,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyaksikan penyerahan Penjara Lahad Datu daripada Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini. – Bernama