Tuesday, April 22, 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penolong Naib Canselor UBD terima pengiktirafan CPHOP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor David Koh Soo Quee baru-baru ini menerima pengiktirafan daripada College of Public Health and Occupational Physician (CPHOP) Singapura atas sumbangan signifikannya dalam amalan dan kemajuan perubatan pekerjaan di Singapura dan peringkat antarabangsa.

    Beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2017 CHOP yang sebelumnya diberikan kepada pakar-pakar perubatan pekerjaan atau kesihatan awam yang cemerlang dan telah menyumbang serta memberikan impak besar dalam kesihatan awam atau perubatan pekerjaan di Singapura.

    Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kanan Kesihatan Singapura, Dr Lam Pin Min pada Majlis Perasmian Persidangan Kesihatan Awam dan Perubatan Pekerjaan di Singapura anjuran Kongres Perubatan Singapura-Malaysia ke-51 dan Persidangan Kesihatan Awam dan Perubatan Pekerjaan Singapura ke-12 pada 21 Julai lalu.

    Pengiktirafan itu juga berdasarkan kepimpinannya dalam pendidikan perubatan pekerjaan siswazah dan lepasan ijazah di Singapura dan serantau.

    Menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan daripada rakan-rakan sekerja profesional beliau, Profesor David Koh ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Rakan Persidangan Kesihatan Awam dan Perubatan Pekerjaan, mengatakan ia bukan usaha peribadi beliau sahaja, namun kerja berpasukannya. Beliau turut menghargai jasa guru dan mentornya, menjelaskan bahawa beliau mendapat penghormatan untuk dididik dan diajar oleh orang terbaik di dunia.

    Profesor David Koh yang telah menerima peng-iktirafan tersebut.
    Profesor David Koh yang telah menerima peng-iktirafan tersebut.

    “Sebarang pencapaian saya adalah disebabkan orang-orang hebat ini yang mengajar dan menyampaikan ilmu mereka sebaik yang mungkin dan juga kerjasama rakan-rakan sekerja yang hebat sama ada di dalam atau luar negara.

    “Banyak lagi masih perlu dilakukan kerana lebih 6,300 orang mati dalam kemalangan berkaitan kerja atau penyakit setiap hari, sama ada disebabkan barah, penyakit kardiovaskular, penyakit berjangkit malah kerja berlebihan.

    “Kita perlu memperuntukkan sumber yang mencukupi, bekerjasama dan bergabung mengukuhkan dasar kesihatan kerja, amalan dan penyelidikan serta melatih lebih baik lagi tenaga kerja kesihatan untuk menangani isu-isu yang membebankan,” katanya.

    Profesor David Koh sebelum ini juga pernah menerima Pingat Smiley dari Fakulti Perubatan Pekerjaan Royal College of Physicians Ireland, Anugerah Wilf Howe memorial Prize dari Fakulti Perubatan Pekerjaan Royal College of London dan Anugerah Sukarela Cemerlang dari Yayasan Antarabangsa Singapura.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda