Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Para pengunjung dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu dakwah dan juga sketsa drama semasa Persembahan PENTARAMA yang berlangsung di pentas perayaan kawasan Gerai Tudung Saji, Kuala Belait, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, Persembahan PENTARAMA dikelolakan oleh Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Belait.
Persembahan berkenaan diadakan bagi memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat acara berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohammad Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.
Turut hadir ialah ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @Lim Swee Ann; Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA; dan Pemangku Timbalan Pengarah, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaihi selaku Timbalan Pengerusi PENTARAMA, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung Daerah Belait.
PENTARAMA atau pentas, tari dan drama adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan secara bersemuka melalui persembahan pentas sejak 1988 dalam menyalurkan mesej yang membina minda masyarakat dan maklumat rasmi kepada orang ramai mengenai dasar serta aktiviti kerajaan.
Persembahan PENTARAMA dimulakan dengan lagu tema, PENTARAMA oleh barisan artis yang terdiri daripada Kumpulan Al Busyra Muslimin dan Muslimah yang mempersembahkan lagu-lagu berunsur dakwah dan nasihat antaranya Selawat ke Atas Nabi, Selawat Badriyah dan Iman Mutiara.
PENTARAMA berkenaan juga diisikan dengan sketsa drama bertajuk, Bisikan Hijrah oleh Seni Kreatif Insan Seni yang mengisahkan mengenai ketua keluarga yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sehingga berlakunya keganasan dalam rumah tangga dan penderaan kepada isteri dan anak yang akhirnya menghancurkan keharmonian sebuah keluarga.
Para penonton turut dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Loh dan Tibby dari BruHaHa yang juga mengendalikan Kuiz Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan dengan hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Yang Berhormat Haji Mohammad Salleh.
Persembahan PENTARAMA diadakan setiap tahun di seluruh negara bagi sama-sama memeriahkan lagi pentas perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan dengan Daerah Belait merupakan destinasi terakhir PENTARAMA telah berlangsung di Daerah Temburong pada 22 Julai, Daerah Tutong pada 24 Julai dan Daerah Brunei dan Muara pada 25 Julai.