Oleh Syahmi Hassan –
TEMBURONG, 23 JULAI – Dalam sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 Tahun, Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik telah mengelolakan Persembahan PENTARAMA di pentas perayaan kawasan Dermaga Pekan Bangar, Daerah Temburong.
PENTARAMA atau pentas, tari dan drama adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan secara bersemuka melalui persembahan pentas sejak 1988 dalam menyalurkan mesej yang membina minda masyarakat dan maklumat rasmi kepada orang ramai mengenai dasar dan aktiviti kerajaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir selaku Pemangku Penghulu Zon 1, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah dan Pemangku Timbalan Pengarah Pene-rangan, Dayang Sastra Sarini
binti Haji Julaini.
Persembahan PENTARAMA telah dimulakan dengan lagu tema ‘PENTARAMA’ oleh barisan artis yang terdiri daripada Kumpulan Al-Busyra.
Selain persembahan lawak jenaka oleh Loh dan Tibby dari BruHaHa, PENTARAMA juga diisikan dengan sketsa drama bertajuk ‘Bisikan Hijrah’ oleh Seni Kreatif Insan Seni yang antara lain memaparkan mengenai ketua keluarga yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah yang membawa kepada penderaan isteri dan anak yang akhirnya menghancurkan keharmonian sebuah keluarga.
Di samping itu, para penonton PENTARAMA juga berpeluang untuk menyertai Kuiz Kenegaraan di mana penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Persembahan PENTARAMA akan diteruskan ke daerah-daerah lain iaitu esok di pentas perayaan kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong bagi Daerah Tutong; pada 25 Julai di pentas perayaan, kawasan lapang berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja; dan 29 Julai di pentas perayaan kawasan Gerai Tudung Saji, Daerah Belait.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi sama-sama memeriahkan lagi pentas perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-77.