Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri yang memasuki hari keempat, orang ramai diingatkan supaya tidak leka menikmati juadah dan minuman bergula terutamanya semasa rumah terbuka.
Pengawalan kalori adalah penting dengan mengambil kuantiti yang diperlukan sahaja bagi mereka yang kurang bersenam.
Bagaimanapun, fokus kepada kualiti makanan dan bukannya kepada kuantiti makanan, mengurangkan lemak dengan berlari adalah antara sukan yang terbaik.
Bagi mereka yang gemar berlari setiap hari, tidak menjadi masalah untuk menikmati juadah Hari Raya.
Salah seorang pelari, Awang Raduanddy bersama rakan-rakan ketika ditemu bual berkata, jemputan rumah terbuka pada tahun ini sangat banyak, ini kerana negara telah memasuki fasa endemik, dan melonggarkan sekatan-sekatan yang telah ditetapkan dahulu.
Seorang lagi pelari, Awang Erwan Jumaat juga berkata, ketika meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, kita juga perlu menjaga tahap kesihatan yang baik dan bersenam pagi atau petang jangan sekali-kali ditinggalkan.
Pada sambutan Hari Raya ini, pengambilan air manisan juga sering dilihat dihidangkan ketika mengunjungi rumah sanak saudara atau sahabat handai, namun untuk para penggemar sukan berlari mengambil air putih juga memainkan peranan untuk menjaga tahap air dalam badan tetap mencukupi agar tidak mengalami dehidrasi ketika berlari, ujarnya.


