Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Pentingnya perpaduan ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Impak COVID-19 terhadap kesihatan, pendidikan dan ekonomi tidak dapat dijangkakan dan ini memerlukan perhatian yang tinggi.

    Oleh itu, pentingnya perpaduan dan sentraliti dalam memastikan ASEAN mampu untuk mengatasi dan bertindak balas secara berkesan terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi pada masa akan datang, menurut Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib semasa membuat kenyataan pada sidang pleno pertama di Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) kali ke-43 di Kemboja.

    Yang Berhormat Pehin semasa mengetuai rombongan Negara Brunei Darussalam ke AIPA anjuran Perhimpunan Kebangsaan Kemboja di Phnom Penh, Kemboja dari 20 hingga 25 November itu juga menggariskan perubahan iklim, pengurusan bencana serta keselamatan makanan menjadi cabaran utama yang perlu ditangani oleh parlimen-parlimen dalam memenuhi keperluan rakyat dan penduduk.

    Keperluan kerjasama dan kolaborasi di antara AIPA dan ASEAN demi mencapai kebaikan rakyat di rantau ASEAN juga ditekankan dalam perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Perhimpunan Agung AIPA ke-43 itu.

    Menurut perutusan Baginda lagi, ahli Parlimen selaku suara rakyat mempunyai tugas dan tanggungjawab yang penting di dalam menjaga kesejahteraan rakyat di rantau ASEAN, terutama golongan yang berkeperluan.

    AIPA telah dirasmikan oleh Presiden Perhimpunan Kebangsaan Kemboja dan Presiden AIPA ke-43, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Ponhea Chakrei Heng Samrin.

    Selain 37 resolusi turut diluluskan, perhimpunan itu juga menyaksikan Yang Berhormat Pehin telah dianugerahkan AIPA Distinguished Service Award atas jasa dan komitmen yang telah diberikan kepada AIPA. Manakala Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Lela Jasa Haji Abdul Rahman telah dilantik sebagai Setiausaha Agung AIPA.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman ketika menerima AIPA Distinguished Service Award. – Gambar serahan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...