LONDON, 20 NOV – Penulis Australia, Richard Flanagan mencipta sejarah baharu dalam dunia kesusasteraan semalam apabila memenangi hadiah buku bukan fiksyen terkemuka Britain, Hadiah Baillie Gifford, iaitu 10 tahun selepas dianugerahkan Hadiah Booker untuk buku fiksyen.
Flanagan memenangi Hadiah Baillie Gifford bernilai AS$63,000 menerusi karya memoir pelbagai genre, Question 7, yang menggabungkan autobiografi, sejarah keluarga dan kisah pembangunan bom atom.
Pada 2014, Flanagan menerima Hadiah Booker menerusi novelnya, The Narrow Road to the Deep North, yang diinspirasikan daripada pengalaman bapanya sebagai tawanan perang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Pengarah bagi Hadiah Baillie Gifford, Toby Mundy, menyifatkan pencapaian Flanagan sebagai ‘tidak pernah berlaku sebelum ini,’ apabila penulis yang sama memenangi anugerah terkemuka untuk fiksyen dan bukan fiksyen di United Kingdom (UK).
Wartawan Isabel Hilton, yang mempengerusikan panel penghakiman, berkata Flanagan telah menulis ‘sebuah buku simfoni meditasi’ yang menggabungkan ‘peristiwa-peristiwa traumatik pada abad ke-20 dengan naratif peribadi yang luar biasa.’
Beliau menambah bahawa latar belakang Flanagan sebagai penulis fiksyen jelas menyerlah dalam daya cipta dan ritma naratif karyanya.
“Saya fikir buku ini mendapat manfaat daripada pandangan seorang novelis,” katanya.
Flanagan tidak menghadiri majlis penyampaian anugerah itu di London secara langsung, kerana beliau dilaporkan sedang mendaki di hutan hujan Tasmania, menurut penganjur acara. – AP