Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Seorang penumpang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Muara-Tutong menuju ke Kampung Tanah Jambu, Daerah Brunei dan Muara kelmarin.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Muara dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada jam 7:28 malam.
Pihak PPDB segera berkejar ke tempat kejadian dan mendapati ia adalah kemalangan sendiri. Mereka menemui salah seorang mangsa yang merupakan penumpang terlantar di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik yang membuat pemeriksaan.
Pemandu pula dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi rawatan segera kerana mengalami kecederaan namun dalam keadaan stabil ketika ini dan dalam pemantauan.
Pihak polis masih menjalankan siasatan punca sebenar kemalangan. Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan insiden itu boleh memberikan keterangan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian kecemasan polis 993 bagi membantu siasatan.
PPDB turut menasihatkan pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan sentiasa menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di jalan raya.



