Friday, January 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penuntut teruja belajar secara dalam talian

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Dalam keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan mengambil langkah dengan memperkenalkan pembelajaran dalam talian yang telah bermula pada 30 Mac yang lepas demi memberikan pendidikan secara berterusan.

    Media berkesempatan menemu bual beberapa ibu bapa dan juga pelajar yang telah menggunakan pembelajaran secara dalam talian tersebut.

    Haji Dasnan bin Haji Mat Daud bapa kepada salah seorang pelajar menjelaskan, sejak pembelajaran dalam talian ini mula digunakan pada 30 Mac, ia masih di peringkat awal tetapi ia sedikit sebanyak telah membantu pembelajaran anak-anaknya.

    Menurutnya, walaupun menghadapi masalah seperti WiFi yang kurang memuaskan tetapi guru-guru juga telah membuat inisiatif mereka sendiri dengan membuat rakaman video pembelajaran yang mana telah dapat membantu pelajar untuk mengikuti sesi pembelajaran pada bila-bila masa.

    Hajah Ameerah binti Haji Kahar menjelaskan ketika sesi pembelajaran anaknya di rumah bersama guru, anak-anaknya juga melakukan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa lapang sejurus sahaja selesai waktu pembelajaran bersama gurunya melalui persidangan video.

    Seorang pelajar mengisi masa lapang di rumah dengan aktiviti yang berfaedah.

    “Negara juga tidak terkecuali dengan wabak COVID-19 namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pembelajaran dan dengan pembelajaran dari rumah ini telah dapat membantu pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian”, jelasnya.

    Manakala ketika temu bual bersama Awang Mohammad Haziq Aqwa bin Mohammad Iman Safwa dan Dayangku Siti Auni Afifah binti Pengiran Haji Darun masing-masing merupakan pelajar Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong, berkongsi pengalaman mereka semasa pembelajaran secara dalam talian.

    Menurut Awang Mohammad Haziq Aqwa, pembelajaran dalam talian ini adalah menyeronokkan dengan aplikasi yang cukup menarik dan sangat membantu.

    “Sepanjang tiga hari yang lepas, kami cuba menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara dalam talian untuk berinteraksi dengan guru. Ini adalah satu persekitaran yang baharu bagi kami tapi ia memberi manfaat yang besar kepada kami semua”, tambahnya.

    Dayangku Siti Auni pula berkongsi pandangan mengenai pembelajaran dalam talian, di mana ia telah memberikan motivasi dan keterujaan kepada pelajar untuk menggunakannya.

    “Saya berasa gembira pada hari pertama mengikuti kelas pembelajaran dalam talian dan semasa persidangan video yang di lakukan itu, kami dapat melihat rakan kelas kami semua”, jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda