Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Penuntut UiTM cipta pewarna tekstil bahan semula jadi

    KUALA LUMPUR – Sebagai usaha melestarikan alam sekitar, sekumpulan penuntut tahun akhir Universiti Teknologi MARA (UiTM) menghasilkan rekaan pakaian menggunakan tekstil daripada bahan dan bahantara semula jadi sepenuhnya.

    Hampir 100 koleksi karya seni reka tekstil hasil buatan tangan yang menggunakan teknik batik lukis, batik retakan, ikat celup dan shibori dihasilkan 27 penuntut Sarjana Muda Seni Reka Tekstil universiti itu dipamerkan di Dyeco: Eksplorasi Eko Tekstil Pewarna Alami di Muzium Tekstil Negara di sini baru-baru ini hingga 23 Februari ini. 

    Antara yang menarik perhatian, rekaan kimono oleh pereka Muhamad Faiz Zahurin, 24, menggunakan ubi keledek ungu bagi menghasilkan ekstrak berwarna ungu gelap yang mewarnai tekstil karyanya melalui teknik canting batik dan shibori (teknik ikat celup tradisional Jepun).

    Beliau yang mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan untuk menghasilkan pewarna pakaian itu berkata antara cabaran menghasilkan bahan alami itu adalah dengan memastikan suhu persekitaran sesuai bertujuan mendapatkan ton warna diinginkan.

    “Bahan pewarna bertindak balas dengan persekitaran, ton warna berbeza akan dihasilkan bergantung kepada suhu, jika panas ia jadi lebih terang sebaliknya pewarna jadi gelap apabila suhu persekitaran lebih sejuk,” katanya kepada Bernama.

    Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Razaimi Hamat (tengah) diiringi Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Shah Alam, Prof Dr Shahanum Md Shah (kanan) dan Juita merasmikan pameran Dyeco di Muzium Tekstil Negara, baru-baru ini. – Bernama
    Juita berkata program itu antara lain bertujuan menggalakkan dan mendedahkan pereka muda menghasilkan karya yang lebih lestari demi kelangsungan alam sekitar pada pameran Dyeco di Muzium Tekstil Negara, baru-baru ini. – Bernama
    Pengunjung melihat Pameran Dyeco di Muzium Tekstil Negara baru-baru ini. – Bernama
    Gelagat pelajar tahun akhir penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarjana Muda Seni Reka Tekstil bergambar pada pameran Dyeco di Muzium Tekstil Negara, baru-baru ini. – Bernama
    Pengunjung merasai sendiri kualiti tekstil yang dihasilkan penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarjana Muda Seni Reka Tekstil di Muzium Tekstil Negara, baru-baru ini. – Bernama
    Para pengunjung tertarik melihat pameran Dyeco di Muzium Tekstil Negara, baru-baru ini. – Bernama

    Muhamad Faiz yang dipilih sebagai pelajar berprestasi keseluruhan terbaik bagi program berkenaan berkata ubi keledek ungu dipilih berikutan tidak ramai yang menggunakannya sebagai sumber pewarna asli memandangkan tanaman itu biasanya diimport dan jarang ditanam di Malaysia. 

    Nuranisa Ag Anak, 24, yang dinobatkan sebagai pereka terbaik program itu pula memilih kacang hitam dan bunga telang sebagai bahan utama dalam menghasilkan pewarna tekstil rekaannya. 

    “Saya juga menggunakan krim tartar sebagai bahan campuran atau mordan (pengikat warna) sebagai pengganti bahan sintetik sodium silicate,” katanya yang menggunakan kaedah cuba jaya dalam menghasilkan pewarna alami itu. 

    Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Seni Reka Tekstil Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, Juita Jaafar Manap berkata program itu bertujuan menggalakkan dan mendedahkan pereka muda menghasilkan karya yang lebih lestari demi kelangsungan alam sekitar. 

    “Sebenarnya pewarna alami sudah dihasilkan dan diguna pakai sejak zaman nenek moyang kita lagi, jadi kita mahu menggalakkan amalan itu semula dalam mengurangkan bahan kimia dan sintetik yang berbahaya kepada ekologi alam,” katanya. 

    Juita berkata penggunaan bahan semula jadi juga akan memudahkan pengurusan sisa tekstil yang mampu mengurangkan kadar pencemaran alam khususnya pencemaran air yang sering dikaitkan dengan industri pencelup dan tekstil.

    Beliau berkata pihaknya juga sedang mengkaji kaedah menambah baik formula pewarna menggunakan bahan asli itu terutama dari segi aspek ketahanan warna yang merupakan kelemahannya berbanding pewarna sintetik agar berpotensi untuk dikomersialkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...