Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Penyedia pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) digesa untuk menyediakan graduan dengan kecekapan digital dan minda hijau, serta menyepadukan kemahiran hijau ke dalam kurikulum, pengajaran-pembelajaran, serta penilaian mereka.
Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH (SV), Awang Alias bin Haji Abu Bakar menekankan bahawa usaha-usaha berkenaan bermatlamat ke arah penambahbaikan TVET, dan dengan melahirkan graduan yang cekap dari segi sosial budaya dan berorientasikan ekonomi, TVET sudah pasti akan menyumbang ke arah pembangunan mampan rantau ini dan juga luar rantau.
Beliau menekankan perkara itu semasa berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Pendigitalan dan Penghijauan TVET untuk Pembangunan Mampan yang berlangsung di Bangkok, Thailand, bersempena dengan Mesyuarat Lembaga Pentadbir (GBM) ke-33 SV.
Persidangan antarabangsa tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan Thailand, Dr Pichet Popakdee.
Dr Pichet Popakdee, dalam ucapannya memuji pusat berkenaan dalam menarik perhatian kepada isu-isu mendesak mengenai pembangunan mampan, memetik dasar strategik serantau sedia ada yang menekankan pendigitalan dan penghijauan TVET, termasuk Thailand 4.0, inisiatif Negara Pintar Singapura, Industri 4WRD Malaysia serta membuka peluang digital Indonesia.
Beliau menyatakan bahawa inisiatif ini memerlukan usaha kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk meningkatkan TVET dan melibatkan graduan TVET dalam inisiatif pendigitalan dan penghijauan.

Sementara itu, Pengarah Sekretariat SEAMEO, Dr Ethel juga menyatakan sokongan terhadap usaha untuk memupuk minda yang mampan dan mengiktiraf kepentingan kemahiran hijau untuk semua sektor dan pekerjaan, di samping merakamkan penghargaan kepada Pejabat Suruhanjaya Pendidikan Vokasional, Thailand kerana menyokong acara tersebut.
Persidangan itu juga menyaksikan pelancaran dua usaha baharu iaitu Halaman Sektor Swasta di SEA-VET.net dengan kerjasama erat GIZ-RECOTVET, dan kerjasama SV dengan Kumpulan NISAI mengenai ‘Program Fungsi Bahasa Inggeris untuk Guru-guru TVET di Asia Tenggara’.
Berikutan itu, pembentangan ucaptama telah dibuat oleh Profesor Dr Georg Spoettl dari Universiti Bremen Jerman; Julien Magnat dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa Bangkok; dan Profesor Dr Margarita Pavlova, dari Pusat UNEVOC Hong Kong dan Universiti Pendidikan Hong Kong.
Selain itu, empat panel penceramah yang merangkumi wakil daripada sektor pendidikan, swasta dan kerajaan di rantau ini dan seterusnya.
Perbincangan berakhir dengan perkongsian Resolusi Persidangan oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Profesional dan Pakar Penyelidikan SV, Dr Paryono.
Mesyuarat juga dihadiri oleh Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Thailand, Tuan Yang Terutama Pengiran Sahari bin Pengiran Salleh bersama para peserta dari seluruh dunia dan disiarkan secara langsung di YouTube.