Sunday, December 22, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyiasat Perancis, Belanda serbu pejabat Netflix

    PARIS, 6 NOV – Pendakwa raya dan penyiasat polis yang pakar dalam membanteras penipuan dan rasuah menyerbu pejabat Netflix di Perancis dan Belanda kelmarin, dalam siasatan berkaitan kesalahan kewangan, menurut pegawai kehakiman.

    Pihak berkuasa Perancis dan Belanda telah bekerjasama selama beberapa bulan dalam penyiasatan yang tertumpu pada pengubahan wang hasil daripada penipuan cukai dan pekerjaan tanpa rekod, jelas seorang pegawai kehakiman di Perancis.

    Polis Perancis menjalankan serbuan di ibu pejabat Netflix di Perancis. Penyiasat daripada briged polis yang pakar dalam kes penipuan cukai besar, pengubahan wang haram, rasuah dan jenayah kewangan pejabat turut disertai oleh pegawai dari pejabat pendakwa raya kebangsaan Perancis yang juga memerangi jenayah kewangan, kata pegawai itu.

    “Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa di Perancis, di mana Netflix adalah penyumbang penting kepada ekonomi tempatan dan kami mematuhi undang-undang cukai dan peraturan di semua negara di mana kami beroperasi,” tulis jurucakap Netflix dalam satu kenyataan.

    Siasatan itu dibuka pada November 2022, menurut pegawai tersebut.

    Di Belanda, pihak pendakwa raya Belanda turut menyerbu ibu pejabat Netflix di Eropah yang terletak di Amsterdam. Jurucakap Pejabat Nasional bagi Jenayah Penipuan, Jenayah Alam Sekitar dan Penyitaan Aset, Emma Bosma, berkata bahawa serbuan itu dijalankan atas permintaan pihak berkuasa Perancis. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda