Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyiasatan mengenal pasti kes 121 giat dijalankan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Penyiasatan terus dijalankan untuk mengesan kontak serta mengenal pasti sumber jangkitan bagi kes 121 di mana sehingga kini, seramai 72 orang telah tampil ke hadapan dalam membantu berhubung kes berkenaan.

    Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk mengumpulkan maklumat daripada 72 orang yang tampil ke hadapan bagi mengenal pasti sumber jangkitan bagi kes yang dijangka akan dikenal pasti dalam masa yang terdekat.

    Beliau turut menghargai kerjasama orang ramai yang tampil ke hadapan serta menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 untuk membantu dalam penyiasatan kes berkenaan.

    Sementara itu, mengulas mengenai persoalan berhubung kes-kes positif bagi mereka yang berada dalam satu pesawat, sama ada semua penumpang perlu melakukan pengasingan diri, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa jika kes positif berkenaan dikesan sebelum memperkenalkan pengasingan diri mandatori bagi mereka yang masuk ke negara ini, para penumpang yang didapati duduk di dua barisan di hadapan dan belakang penumpang yang positif berkenaan akan dipanggil bagi menjalani pengasingan diri.

    Manakala itu, bagi mereka yang tiba selepas pengasingan diri mandatori diperkenalkan kepada semua orang, seluruh penumpang dalam pesawat adalah dikehendaki untuk menjalankan pengasingan diri selama 14 hari dan akan melalui ujian pengesanan COVID-19.

    Menjawab persoalan mengenai kekurangan dan penggunaan bekalan darah bagi COVID-19, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa bekalan darah bukan sahaja untuk menangani COVID-19, malahan komplikasi-komplikasi lain yang dirawat di hospital-hospital di seluruh negara.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menjawab soalan yang dibangkitkan pada sidang media itu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda