MALANG, INDONESIA, 3 OKT – Jurulatih bola sepak dari Chile, Javier Roca berkata, ‘penyokong mati dalam pelukan pemain’ dan mendakwa polis yang melepaskan gas pemedih mata bersikap ‘keterlaluan’, selepas tragedi bola sepak Indonesia yang mengorbankan 174 nyawa.
Kejadian berlaku apabila penyokong Arema FC masuk ke padang di Stadium Kanjuruhan selepas pasukan mereka tewas 3-2 kepada seteru utama, Persebaya Surabaya.
Polis berkata 323 orang cedera dalam kejadian di stadium antara paling teruk pernah disaksikan.
“Perkara paling teruk apabila mangsa datang untuk mendapat rawatan dengan doktor pasukan. Kira-kira 20 orang tiba dan empat maut. Penyokong mati dalam pelukan pemain,” kata jurulatih Arema, Roca kepada penyiar Sepanyol, Cadena Ser.
“Mental saya sangat terganggu. Saya merasai beban yang berat, ia satu tanggungjawab yang berat.”
Roca, 45, yang menghabiskan sebahagian besar kariernya di Indonesia, menggambarkan sepenuhnya tragedi selepas perlawanan Sabtu lalu itu.
“Selepas perlawanan itu, saya ke bilik persalinan dan sebahagian pemain kekal di padang. Selepas sidang akhbar, saya melihat tragedi itu,” katanya.
“Pemain lalu di depan saya dengan mangsa dalam pelukan mereka. Keputusan itu memberi kesan dan menyebabkan tragedi terjadi pada penghujung. Jika kami seri, ia pasti tidak akan terjadi.” – AFP
