Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Perambut pencari ikan

    Oleh Raz AS –

    Terdapat pelbagai kaedah perambut yang digunakan oleh pemancing di serata dunia, digunakan mengikut keadaan lapangan pancing dan spesies buruan masing-masing.

    Bercakap mengenai kaedah pancingan dasar, tidak dapat dinafikan bahawa kaedah perambut yang paling popular digunakan di serata dunia mahupun di negara ini adalah kaedah perambut batu hidup.

    Apakah dia perambut batu hidup itu? Kaedah perambut batu hidup adalah perambut yang menggunakan kaedah batu ladung yang dapat bergerak bebas turun naik pada tali perambut atau tali utama.

    Disebabkan tiadanya halangan untuk tali keluar seperti menggunakan perambut yang memerlukan batu diikat langsung pada tali pancing, ikan tidak akan terasa bebanan ketika memakan umpan sehinggalah tali ditegangkan, atau drag dikencangkan bagi
    yang menggunakan reel jenis baitrunner.

    Salah satu kaedah perambut batu hidup yang sering digunakan dikenali sebagai fish finder rig atau perambut pencari ikan.

    Kaedah perambut pencari ikan yang menggunakan weight slider. – GAMBAR OLEH NORRIK
    Ikan tidak akan terasa bebanan ketika memakan umpan sehinggalah tali ditegangkan atau drag dikencangkan bagi yang menggunakan reel jenis baitrunner. – GAMBAR OLEH SHIMANOAU

    Kaedah ini memerlukan tali utama dimasukkan ke dalam lubang batu ladung atau weight slider yang kemudiannya diikat dengan kili-kili sebelum disambung dengan tali perambut.

    Sepertimana namanya fish finder yang bermaksud pencari ikan, kaedah ini membolehkan umpan hidup bebas berenang untuk ‘mencari’ ikan.

    Semakin banyak tali dilepaskan semakin luas liputan kawasan yang boleh diteroka oleh umpan, dan pada masa yang sama membantu ikan-ikan berdekatan untuk mengesan kehadiran umpan di kawasan tersebut.

    Begitu juga jika menggunakan umpan mati. Apabila kaedah ini digunakan di kawasan yang mempunyai arus kuat, umpan akan lebih senang dihanyutkan.

    Walau bagaimanapun, antara kelemahan perambut ini adalah ia kurang sesuai digunakan di kawasan yang banyak struktur.

    Si pemancing perlulah bijak mengawal pergerakan umpan, terutama umpan hidup, daripada berenang menyelinap masuk atau dihanyutkan ke celah-celah struktur.

    Selain itu, tali perambut juga berkemungkinan akan terpintal ke tali utama ketika melakukan lontaran.

    Untuk mengurangkan masalah tali berpintal, umpan haruslah dipasang pada mata kail dengan betul, seperti dicangkukkan pada bahagian berhampiran hujung ekor atau kepala agar lontaran tidak berputar-putar, jatuh ke dasar atau akibat arus kuat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...