KUCHING, 27 APRIL – Dalam Sarawak melakar langkah ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan berasaskan inovasi menjelang 2030, institusi kewangan perlu melakukan lebih daripada sekadar menguruskan modal, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata institusi kewangan perlu memanfaatkan ekonomi berpendapatan tinggi dan berasaskan inovasi ini dengan kecerdasan, ekuiti dan komitmen yang jelas terhadap pembangunan mampan.
“Sistem kewangan yang baik penting untuk ekonomi yang berkembang maju dan Affin memainkan peranan penting dalam transformasi ini. Struktur bersepadunya menggabungkan Affin Bank, Affin Islamic dan Affin Hwang Investment Bank, menawarkan platform yang lancar untuk individu, perniagaan dan pelabur.
“Kami menghargai sokongan Affin untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana), pembiayaan hijau dan penyelesaian digital yang disesuaikan dengan konteks serantau kita.
“Kami turut mengiktiraf peranan Affin sebagai rakan kongsi modal dalam transformasi strategik kami, yang mampu menyokong infrastruktur pemangkin untuk meningkatkan pertumbuhan Sarawak seterusnya,” katanya pada majlis perasmian cawangan Affin Icom Square di sini, hari ini.
Uggah, yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, berkata PKS bukan sahaja penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, malah nadi ekonomi yang mewujudkan pekerjaan, memacu inovasi tempatan dan menjadi enjin utama pertumbuhan inklusif. – Bernama
