Thursday, March 20, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranan kaum wanita majukan ummah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang mempunyai sistem kepimpinan beraja sejak beratus tahun lalu dan anugerah ini merupakan jalan yang akan menjadi asbab negara diberikan kemakmuran dan kesejahteraan.

    Memiliki pemimpin atau raja yang adil dan bijaksana merupakan satu nikmat Allah SWT yang sangat berharga.

    Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap yang dipimpin untuk mentaati serta mengasihi pemimpin yang berlaku adil dan saksama sesuai perintah Allah dan rasul-Nya.

    Ini adalah antara inti pati ceramah yang disampaikan oleh Penolong Rektor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Lilly Suzana binti Haji Samsu semasa Program Semarak Hari Keputeraan anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah ketika menghadiri majlis yang berlangsung di Dewan Musyawarah, ICC, kelmarin.
    Dr Hajah Lily Suzana semasa menyampaikan ceramah pada majlis berkenaan.

    Ceramah bertajuk ‘Wanita dan Kemajuan Ummah’ itu juga menyentuh mengenai seorang raja yang mematuhi syariat merupakan walil amri yang wajib ditaati segala perintahnya dan diberikan janji setia yang tidak berbelah bahagi.

    Dr Hajah Lily Suzana berkata, dalam perihal mentaati ini, golongan wanita tidak dipencilkan. Mereka berperanan berganding bersama kaum lelaki dalam mencurah bakti kepada raja selaku pemimpin tertinggi di negara ini. Perkara ini dilakukan oleh golongan para sahabat daripada golongan wanita pada zaman Baginda Rasulullah SAW. Semuanya terakam kemas dalam lembaran sejarah yang sebahagiannya direkodkan dalam hadis-hadis sahih Baginda Rasulullah SAW.

    Beliau menambah, perjalanan hidup mereka yang penuh teladan perlu ditelaah agar wanita hari ini memahami peranan mereka adalah sama penting dalam memajukan negara dan ummah.

    Program berkenaan adalah antara program untuk menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teraas) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchana-wati binti Haji Tajuddin dan Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku pengerusi majlis.

    Program tahun ini menyasarkan golongan wanita terdiri daripada para pegawai dan kakitangan kerajaan, pasukan beruniform, wakil Jawatankuasa Perhubungan Awam Kementerian-kemen-terian dan Jabatan-jabatan Kerajaan (JPAKK & JJK), wakil dari syarikat swasta, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGOs), penuntut institut pengajian tinggi (IPT), dan biro wanita dan Muslimah masjid.

    Program berkenan diharap dapat menanamkan dan meningkatkan ketaatsetiaan dan kecintaan rakyat dan penduduk kepada raja dan juga pemimpin negara ini serta seterusnya meningkatkan kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab rakyat kepada raja dan juga pemimpin negara, dan meningkatkan rasa hormat dan sayang rakyat dan penduduk negara ini kepada raja dan pemimpin negara yang merupakan simbol keagungan dan kedaulatan bangsa dan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda