Friday, March 21, 2025
23.2 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Peranan pekerja sosial bina masyarakat berdaya tahan

Oleh Sim Y. H. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Pekerja sosial memainkan peranan yang penting dalam menyokong individu, keluarga dan komuniti untuk mengatasi cabaran-cabaran serta meningkatkan kesejahteraan mereka.

Profesional berdedikasi berkenaan berkhidmat dalam pelbagai suasana menangani isu-isu ekonomi, emosi dan sosial yang dihadapi oleh individu seharian.

Usaha tanpa mengenal penat lelah mereka itu, mengingatkan kita kepada kuasa belas kasihan dan kolaborasi dalam membina masyarakat yang lebih kuat serta berdaya tahan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Perkhidmatan Perubatan Am, Dr Muhd Hiza Wardy bin Haji Abdul Halim dalam kata alu-aluannya pada Majlis Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2025 yang berlangsung di Bangunan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian acara sambutan berkenaan ialah Ketua Pegawai Perubatan Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), Dr Meera Sahib Kabeer.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pengurusan kanan JPMC, ketua-ketua jabatan, kakitangan, pesakit dan penjaga-penjaga.

Dr Muhd Hiza Wardy turut menerangkan mengenai konsep kesejahteraan antara generasi di mana ia menunjukkan bagaimana masyarakat akan maju apabila generasi saling berkaitan, menyokong keperluan antara satu sama lain serta berkembang bersama sepanjang hayat.

Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2025 bermula dengan majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Kuliah dan diikuti dengan pameran yang diadakan di lobi Bangunan PJSC yang mengetengahkan aktiviti-aktiviti kerja sosial dan pihak-pihak berkepentingan Jabatan Kerja Sosial Perubatan (MSW), JPMC.

Hari Kerja Sosial Sedunia 2025 membawa tema, Strengthening Intergenerational Solidarity for Enduring Wellbeing, yang menekankan pentingnya untuk menghubungkan jurang generasi, memupuk kefahaman bersama dan membina masa depan yang mampan di mana semua kumpulan umur berkembang bersama.

Acara itu mengetengahkan kekuatan sokongan masyarakat, pemerkasaan dan kesalinghubungan individu dalam mengatasi cabaran.

Sambutan itu menggariskan komitmen JPMC kepada memajukan nilai-nilai kerja sosial dan mengukuhkan ikatan merentas generasi untuk melindungi mereka yang memerlukan.

Dr Meera Sahib Kabeer dan Dr Muhd Hiza Wardy bergambar ramai bersama pengurusan kanan JPMC, ketua-ketua jabatan dan kakitangan JPMC yang hadir pada majlis berkenaan di Bangunan PJSC, Jerudong, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JPMC
GAMBAR SERAHAN JPMC
GAMBAR SERAHAN JPMC
GAMBAR SERAHAN JPMC

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda