Thursday, March 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranan sukarelawan tetap relevan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Aktiviti kesukarelawanan bukan lagi dilihat sebagai suatu aktiviti pengisi masa lapang, tetapi ia dilihat sebagai suatu wadah bagi menyebarkan semangat perpaduan di antara masyarakat.

    Penularan COVID telah menyaksikan semangat perpaduan daripada seluruh lapisan masyarakat dalam sama-sama membantu kerajaan mengekang penularan wabak.

    Lebih 10,000 orang sukarelawan daripada pelbagai agensi telah turun padang menghulurkan bantuan baik berupa tenaga, material mahupun buah fikiran melalui pendekatan whole of nation.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad (gambar) dalam perutusan sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2022.

    Terdahulu dalam perutusan itu, beliau menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meraikan Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa pada setiap 5 Disember.

    Sambutan pada tahun ini, tambahnya, membawa tema, Perpaduan melalui Kerja Sukarela, di mana tema itu bertepatan dengan keadaan dunia dan negara yang berdepan dengan cabaran pandemik COVID.

    Ia juga sebagai usaha membudayakan semangat sukarela dalam kalangan masyarakat amnya dan para belia khususnya dengan sambutan itu bertujuan untuk meraikan serta memberikan penghargaan kepada kerja sukarela dan para sukarelawan.

    Sebagai sokongan berterusan kepada Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa, ulas Yang Berhormat Dato, kementeriannya telah memperkenalkan satu inisiatif bagi menggalakkan masyarakat pada amnya serta para belia khususnya bergiat aktif dalam bidang sukarela melalui Kempen Hari Bertindak.

    Kempen itu mula diperkenalkan pada 2015 sebagai usaha untuk mengumpul serta mengerakkan para sukarelawan, penggiat aktiviti sukarela serta badan-badan bukan kerajaan dari seluruh daerah dalam sama-sama menyertai serta melaksana aktiviti sukarela.

    Beliau berkata bahawa semenjak ia diperkenalkan, hampir 1,000 aktiviti di bawah sembilan kluster yang merangkumi bidang kerohanian dan keagamaan, masyarakat, bencana alam, keusahawanan sosial, seni dan budaya, pendidikan inklusif, hak asasi haiwan, inisiatif hijau dan pembangunan belia dengan melibatkan sekitar 20,000 orang sukarela telah menyertai kempen itu.

    Bagi 2022, Majlis Pelancaran Utama Kempen Hari Bertindak akan diadakan pada 11 Disember, di mana melalui kempen seumpama itu, adalah diharapkan dapat mengukuhkan di samping menyebarkan lagi semangat dan budaya sukarelawan dalam kalangan masyarakat umumnya dan para belia khasnya.

    “Hal ini jelas telah ditekankan di dalam State of the World’s Volunteerism Report 2018 di mana sukarelawan memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang berdaya tahan,” tekannya.

    Beliau berkata lagi bahawa ia juga adalah bertepatan dengan nilai-nilai Melayu Islam Beraja yang menekankan pentingnya semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat bagi memastikan keharmonian kehidupan bermasyarakat.

    “Akhirnya, dengan iringan doa serta harapan yang tinggi bagi pembangunan sukarelawan, sukacita saya mengucapkan, Selamat Hari sukarelawan Antarabangsa kepada seluruh Sukarelawan di Negara Brunei Darussalam,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda