Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis dimalukan Mexico

    TOKYO, 22 JULAI – Perancis memulakan kempen bola sepak Olimpik mereka dengan mimpi buruk selepas kalah 4-1 oleh Mexico semalam, sementara pasukan Sepanyol terikat seri tanpa jaringan menentang Mesir.

    Jurulatih Perancis, Sylvain Ripoll memburu pingat Olimpik pertama mereka sejak memenangi emas pada tahun 1984, tetapi tersungkur pada separuh masa kedua di Stadium Tokyo.

    “Kami jelas kecewa dengan keputusan ini dan juga dengan permainan kami,” kata bekas jurulaith Lorient, Ripoll.

    “Untuk bersaing, kami pasti memerlukan persembahan yang besar, akan tetapi ia tidak terjadi.”

    Mexico mendahului perlawanan kurang dari dua minit menerusi Alexis Vega, sebelum Sebastian Cordova menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-55.

    Aksi pemain pertahanan Mexico, Johan Vasquez ketika bersaing dengan penyerang Perancis, Florian Thauvin semasa perlawanan bola sepak pusingan pertama peringkat kumpulan di Sukan Olimpik Tokyo semalam. – AFP

    Kapten Perancis, Andre-Pierre Gignac, yang berusia 35 tahun terakhir kali beraksi untuk pasukan senior Perancis ketika kekalahan perlawanan akhir Euro 2016 kepada Portugal, merapatkan kedudukan melalui sepakan penalti dengan baki 21 minit.

    Tetapi kebangkitan mereka digagalkan apabila Uriel Antuna dan Eduardo Aguirre menjaringkan gol untuk juara 2012 Mexico.

    Perancis kini menghadapi tugas yang sukar untuk keluar dari Kumpulan A untuk mendapatkan kedudukan dua teratas, menjelang perlawanan menentang Afrika Selatan Ahad ini dan tuan rumah Jepun pada 28 Julai.

    “Perkara pertama yang harus kita lakukan adalah mengatasi kekecewaan ini,” tambah Ripoll. “Kami hanya mempunyai dua hari. Tidak boleh membuang masa.”

    Sepanyol juga bergelut, sebagai pasukan yang menampilkan enam pemain yang mara ke separuh akhir Euro 2020 baru-baru ini menguasai perlawanan tetapi hanya mencipta sedikit peluang menentang Mesir di Sapporo.

    Peluang besar mereka timbul ketika pemain tengah Real Madrid, Dani Ceballos, yang baru-baru ini menghabiskan dua musim dengan pinjaman di Arsenal, melakukan rembatan tetapi terkena palang.

    Sepanyol, pemenang di laman sendiri sendiri pada tahun 1992, seterusnya akan menentang Australia dalam masa tiga hari sebelum perlawanan terakhir Kumpulan C mereka berdepan Argentina.

    Pemenang juara Brazil memulakan kempen mereka pada hari Khamis menentang Jerman. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda