COPENHAGEN, 28 APRIL – Perbelanjaan ketenteraan global mencatatkan paras tertinggi baharu pada 2024 untuk kali ke-10 berturut-turut, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menurut laporan baharu yang diterbitkan hari ini oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), sebuah badan pemikir terkemuka mengenai konflik dan pertahanan, perbelanjaan ketenteraan yang diselaraskan mengikut kadar inflasi meningkat sebanyak 9.4 peratus kepada AS$2.72 trilion pada 2024.
SIPRI mendedahkan ia merupakan peningkatan tahunan paling tinggi sejak sekurang-kurangnya berakhirnya Perang Dingin.
Perbelanjaan ketenteraan meningkat di semua wilayah di seluruh dunia, dengan pertumbuhan paling pesat dicatatkan di Eropah dan Timur Tengah.
Dengan perang di Ukraine memasuki tahun ketiga, perbelanjaan ketenteraan di Eropah meningkat sebanyak 17 peratus kepada AS$693 bilion, menjadikannya penyumbang utama kepada peningkatan global.
Semua negara Eropah meningkatkan perbelanjaan ketenteraan mereka pada 2024, kecuali Malta.
Menurut SIPRI, perbelanjaan ketenteraan Rusia dianggarkan mencecah AS$149 bilion pada 2024, meningkat 38 peratus berbanding 2023, dan dua kali ganda berbanding paras pada 2015.
Lima negara yang mencatatkan perbelanjaan ketenteraan tertinggi iaitu Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, Jerman dan India, menyumbang 60 peratus daripada jumlah keseluruhan global.
AS kekal di kedudukan teratas dengan perbelanjaan sebanyak AS$997 bilion, mewakili lebih satu pertiga atau 37 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan ketenteraan global. – Bernama
