Oleh Raz AS –
Crankbait dan jerkbait tidak dapat dinafikan merupakan dua jenis umpan tiruan berbadan keras yang paling popular digunakan oleh pemancing di seluruh dunia, tidak kira di arena pancingan air tawar, estuari mahupun air masin.
Kedua-dua umpan tiruan ini meniru rupa bentuk badan ikan kecil yang menjadi diet utama pelbagai spesies ikan-ikan pemangsa, sedia untuk digunakan di pelbagai lapangan pancing di tahap kedalaman yang berbeza.
Namun di sebalik persamaan ini, crankbait dan jerkbait juga memiliki perbezaannya yang tersendiri.
Meskipun kedua-dua umpan tiruan ini adalah umpan tiruan yang memiliki ‘lidah’ untuk memberikannya aksi renangan dan tahap kedalaman selamannya ketika digulung, lidah jerkbait selalunya bersaiz kecil, biasanya hanya selebar kuku orang dewasa, manakala lidah yang ada pada crankbait pula selalunya lebih panjang dan lebar berbanding jerkbait.
Lidah pada crankbait ini membolehkannya untuk menyelam lebih dalam dengan aksi renangan yang lebih hidup, sementara kedalaman selaman jerkbait bergantung pada faktor keapungan badannya, dan memerlukan sedikit input daripada pemancing untuk ‘menghidupkan’ lagi aksinya.
Selain daripada lidahnya, perbezaan ketara antara jerkbait dan crankbait adalah bentuk badannya. Jerkbait mempunyai bentuk badan yang panjang dan tirus, sementara crankbait pula badannya selalunya lebih pendek dan gempal.
Dari segi penggunaannya, walaupun kedua-dua umpan tiruan ini boleh digunakan dengan teknik straight retrieve atau gulungan terus, tetapi melalui input daripada pemancing, jerkbait boleh menghasilkan gaya renangan yang eratik, menjunam ke kiri dan ke kanan, menjadikannya sesuai digunakan ketika ikan aktif.
Sementara itu, walaupun ada jenis selaman cetek, tetapi crankbait lebih lazim digunakan untuk memikat ikan yang berada di kawasan perairan yang dalam.
Dari segi renangannya, crankbait mempunyai aksi renangan yang lebih sekata dan ‘tenang’.
Sesetengah pemancing menyifatkan jerkbait sebagai ‘digunakan dengan joran’ manakala crankbait pula ‘digunakan dengan reel’.