Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbincangan kerjasama akademik dua hala diperluas

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menjalinkan pelbagai kerjasama dua hala dalam bidang akademik dengan Universiti Al-Azhar As-Sharif, Republik Arab Mesir sejak penubuhannya.

    Sehubungan itu, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal menzahirkan rasa terima kasih dan menyatakan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama dua hala tersebut kepada Sheikh Al-Azhar, Republik Arab Mesir, Fadhilatus Sheikh Al-Imam Al-Akbar Ustaz Dr Ahmad At-Tayyib semasa kunjungan hormat yang berlangsung di Pejabat Sheikh Al-Azhar, Kaherah, Republik Arab Mesir, baru-baru ini.

    Rektor UNISSA menghargai segala sumbangan dan kerjasama erat yang diberikan oleh pihak Al-Azhar terhadap kemajuan dan perkembangan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

    Perbincangan juga memfokuskan kerjasama dalam bidang akademik bagi penghantaran tiga orang tenaga akademik berjawatan profesor dalam bidang akidah, fiqh dan qiraat dari Universiti Al-Azhar ke UNISSA secara pinjaman kontrak dalam memenuhi keperluan akademik UNISSA sebagai usaha melahirkan ulama yang berwibawa.

    Sementara itu, Fadhilatus Sheikh Al-Imam Al-Akbar Ustaz Dr Ahmad At-Tayyib dalam ucapannya menyambut baik kehadiran rektor UNISSA dan rombongan serta menzahirkan rasa mahabbah yang erat dan kecintaan beliau terhadap Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyokong dan menghargai sumbangan Al-Azhar bagi meningkatkan kemajuan syiar Islam di negara ini.

    Beliau turut menasihatkan dan mencadangkan agar kerjasama akademik antara kedua-dua negara dapat diperluaskan bukan sahaja dalam bidang pengajian Islam bahkan juga dalam bidang-bidang lain antaranya sains, teknologi, perubatan dan pertanian.

    Turut menyertai rektor UNISSA dalam kunjungan hormat tersebut ialah Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir, Pengiran Ahmad Munir @ Pengiran Abdul Aziim bin Pengiran Haji Nordin dan Pemangku Penolong Rektor (Antarabangsa dan Perkhidmatan) UNISSA, Dr Haji Hambali bin Haji Jaili.

    Semasa berada di Kaherah, rektor UNISSA berkesempatan membuat lawatan kerja dan perbincangan dengan Raes Universiti Al-Azhar, Profesor Dr Muhammad Hussein Mahrasawi, Pertubuhan Alumni Antarabangsa Universiti Al-Azhar, Rabithah Universiti-universiti Islam Sedunia, Majma Buhuth Islam dan pertemuan dengan ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Brunei Darussalam di Mesir serta tinjauan ke dua buah bangunan kediaman pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir iaitu bangunan Darussalam dan An-Nur, yang terletak di kawasan Hayyu Sadis, Madinat Nasr.

    Dr Haji Norarfan semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Fadhilatus Sheikh Al-Imam Al-Akbar Ustaz Dr Ahmad At-Tayyib yang berlangsung di Pejabat Sheikh Al-Azhar, Kaherah, Republik Arab Mesir. – Gambar serahan UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda