Monday, February 3, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perdagangan negara November 2024 meningkat 11.6%

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Jumlah perdagangan bagi bulan November 2024 meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada $1,877.4 juta, berbanding Oktober 2024. Peningkatan itu disumbangkan oleh nilai eksport sebanyak $1,153.3 juta dan import berjumlah $724.1 juta.

    Penyumbang utama kepada nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 79.2 peratus, diikuti oleh bahan kimia sebanyak 16.8 peratus dan barang-barang keluaran kilang sebanyak 2.2 peratus.

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengumumkan perkara berkenaan dalam siaran media berkaitan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) November 2024.

    Sementara itu, pasaran eksport utama adalah Australia sebanyak 22.7 peratus, diikuti oleh Republik Rakyat China dan Malaysia, masing-masing sebanyak 14.8 peratus dan 11.9 peratus.

    Komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian dan bahan kimia.

    Carta menunjukkan perangkaan eksport import negara. – GAMBAR SERAHAN JPES

    Manakala, import pada bulan November 2024 bernilai $724.1 juta. Tiga komoditi import utama adalah bahan api galian, menyumbang sebanyak 62.9 peratus, diikuti jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 11.2 peratus dan makanan sebanyak 9.7 peratus.

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia sebanyak 32.8 peratus, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu sebanyak 14.1 peratus dan Arab Saudi sebanyak 14 peratus. Komoditi import utama daripada rakan dagangan adalah bahan api galian, makanan dan bahan kimia.

    Dalam pada itu, JPES turut mengongsikan berbanding Oktober 2024, imbangan perdagangan pada November 2024 menurun sebanyak 3.4 peratus, didorong oleh peningkatan import sebanyak 17.0 peratus.

    Import bagi kategori penggunaan akhir, terutamanya digunakan sebagai pemprosesan barangan perantaraan sebanyak 58.6 peratus, diikuti oleh barangan modal bagi operasi perniagaan sebanyak 37.5 peratus dan barangan penggunaan bagi kegunaan isi rumah sebanyak 3.9 peratus.

    Sehubungan itu, bagi mereka yang ingin mengetahui laporan IMTS bagi bulan November 2024 boleh melayari laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda