Oleh Wani Roslan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kedutaan Besar Republik Korea di Brunei Darussalam, malam hari ini, telah mengadakan majlis resepsi untuk memperingati Hari Kebangsaan Pengasasan Republik Korea yang berlangsung di Dewan Utama Indera Samudra, The Empire Hotel & Country Club.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yoon Hyun-Bong dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan bahawa beliau telah melihat perkembangan dalam pertukaran antara Korea dan Brunei sejak ketibaannya ke negara ini tahun lalu.
“Ini merupakan tahun yang penuh peristiwa dan bermakna bagi pembangunan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara. Salah satu peristiwa paling bermakna adalah lawatan negara presiden kami ke Brunei pada Mac lalu,” ujar beliau.
Beliau menekankan bahawa Korea dan Brunei bertukar-tukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama dalam bidang-bidang perdagangan dan pelaburan, harta intelektual, kerjasama pertahanan, pendidikan dan aspek-aspek lain.

“Semasa lawatan itu, kami menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) bagi teknologi sains, bagi Perjanjian Kerjasama Paten dan bagi kerjasama pelaburan.”
Puan Yang Terutama menambah, penandatanganan MoU berkenaan dan hubungan baik antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Moon Jae-In akan memainkan peranan penting untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi sektor swasta dan awam kedua-dua buah negara.
Dalam ucapannya itu, beliau turut menggariskan beberapa perkembangan antara kedua-dua buah negara termasuk pembinaan Jambatan Temburong yang akan siap tidak lama lagi.
“Saya sangat berbangga bahawa syarikat Korea menjadi sebahagian daripada pembinaan bersejarah itu. Ini bukan sahaja akan menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dengan Daerah Temburong, malah menjadi kerjasama penting dalam perhubungan antara Brunei dan Korea,” ujar beliau.
Pada majlis resepsi berkenaan, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan isteri serta PYT Yoon Hyun-Bong bersama-sama memotong kek sempena Hari Kebangsaan Pengasasan Republik Korea.