Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pergerakan pengakap perlu terus relevan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 4 DIS – Pergerakan pengakap perlu terus relevan bukan setakat menumpukan bidang kemahiran asas sahaja, malahan juga perlu melengkapkan ahli-ahli dengan kemahiran abad ke-21 untuk mencapai impak pembangunan modal insan yang berdaya tahan.

    Sesuai dengan visi menyumbang dan memacu kemajuan bangsa dan negara, maka pergerakan pengakap perlu turut mendepani pendidikan belia kerana belia adalah aset berharga yang penuh potensi untuk pembangunan.

    Mereka perlu dididik dan dilatih melalui suatu kaedah yang sesuai dengan minat dan perkembangan mereka.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut dalam titah semasa berkenan merasmikan Jambori

    Nasional ke-5 Brunei Darussalam di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada majlis perasmian berkenaan. – GAMBAR OLEH KHAYR ZAKARIYYA

    Dalam titah, Baginda mengingatkan tujuan pokok mereka dididik dan dilatih ialah supaya mereka mempunyai jati diri yang kukuh dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan semasa yang pelbagai.

    “Tema jambori, Scouts on the Move adalah mencerminkan para pengakap yang sentiasa aktif dan bersedia menghadapi cabaran, dengan berbekalkan nilai undang-undang dan kemahiran-kemahiran abad ke-21 sebagai skills set yang perlu dipelajari dan dimiliki.

    “Jika ada ini, maka pengakap kita adalah jentera perubahan dan perkembangan masa depan tanpa sempadan,” titah Baginda.

    Terdahulu, Baginda bertitah, sebagai sebuah NGO tertua, pergerakan pengakap di negara ini telah ditubuhkan pada 1933 dan telah mencapai 90 tahun penubuhannya.

    Ini menggambarkan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah banyak mengharungi pelbagai pengalaman dan perkembangan. Ia juga terus berusaha untuk kekal relevan dengan menyediakan program-program pembangunan untuk generasi muda di negara ini.

    Baginda turut bertitah merakamkan syabas atas usaha PPNBD yang tidak ketinggalan melibatkan diri bagi kerja-kerja kemasyarakatan dan kebajikan, dan Baginda juga mengambil maklum bahawa PPNBD telah sama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk membantu negara mendepani COVID-19 dengan memberikan khidmat kemasyarakatan yang sangat diperlukan.

    Pada akhir titah, Baginda menaruh harapan agar PPNBD tidak akan berhenti dari terus berusaha menyediakan program-program yang berguna untuk survivability negara dengan mengambil kira keperluan-keperluan mencapai matlamat wawasan negara 2035.

    “Beta berharap para pengakap akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni berpengakap untuk menjadi contoh yang baik kepada generasi muda,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...