Oleh Nurdiyanah R

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Mahkamah Tinggi telah mendengarkan permohonan seorang pesalah yang telah menyeleweng lebih $50,000 yuran pelajar di sekolah tempatnya bekerja.
Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong membenarkan permohonan Mary Anak Aluson yang diwakili oleh Peguam Wafa Mohamad dari Ridzlan and Co.
Mary mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada 23 Ogos 2022 atas tuduhan melakukan pengkhianatan dan diperintahkan untuk menyelesaikan denda sebanyak $5,000 atau menjalani penjara lima bulan jika gagal membayar.
Selain itu, dia juga diperintahkan membayar ganti rugi kepada pihak sekolah itu sebanyak $51,443 dalam tempoh enam bulan dari tarikh hukuman dijatuhkan, atau berdepan hukuman penjara tambahan enam minggu jika gagal membayar ganti rugi.
Mary telah menyalahgunakan yuran sekolah berjumlah $53,881.59 yang dikutip daripada ibu bapa pelajar di sekolah tempatnya bekerja antara Oktober 2011 dan April 2012.
Bagaimanapun, dia telah memulangkan wang berjumlah $2,210.

Peguam Wafa dalam rayuan tersebut menimbulkan isu kesilapan Majistret dalam menjatuhkan hukuman yang salah berdasarkan perintah ganti rugi tanpa memeriksa terlebih dahulu sumber kewangan Mary.
Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin mengakui silap dengan permohonan tersebut tanpa menilai sumber kewangan defendan sebelum membuat perintah ganti rugi.
Ketua Hakim memetik satu kes undang-undang yang menyatakan “perintah ganti rugi tidak membentuk sebahagian daripada hukuman atau menjadi alternatif kepada hukuman dan ia tidak boleh digunakan sebagai hukuman tambahan kepada orang yang dihukum.”
Kes undang-undang ini juga menyatakan “perintah ganti rugi hendaklah tidak menindas tetapi haruslah realistik dan mahkamah harus berpuas hati bahawa yang dihukum hendaklah mempunyai sumber kewangan yang tersedia, atau akan mempunyai sumber kewangan untuk membayar ganti rugi dalam masa yang munasabah.”
Peguam Wafa mencadangkan anak guamnya dibenarkan membayar ganti rugi sebanyak $20,443 dengan bayaran ansuran bulanan sebanyak $1,500 bermula hujung April.
Ketua Hakim mendengarkan bahawa Mary tidak bekerja tetapi anak lelakinya yang bekerja sebagai rigger, menerima upah harian sebanyak $100, akan membantunya membuat pembayaran.
Cadangan itu juga dianggap munasabah oleh responden.
Ketua Hakim Negara kemudiannya membatalkan perintah sebelum ini dan menggantikannya dengan cadangan perayu dan jika gagal memenuhi bayaran ansuran, dia akan menjalani hukuman penjara enam minggu.

