KATA orang, cinta tu manis macam gula-gula Mentos. Ada juga yang kata, cinta tu masam macam buah limau. Tak kurang juga yang kata, cinta tu masin macam kicap Habhal botol hijau. Tapi pada aku, cinta itu punya banyak rasa. Dan eloklah aku katakan cinta itu gabungan beberapa rasa sehingga buat kita nikmati ia seadanya.
Aku letakkan perisa koktel kepada rasa cinta yang kualami kini. Kenapa aku pilih koktel? Nanti akan aku beritahu. Cukuplah kau orang tahu, yang cinta aku tu semacam secawan koktel buah yang punya banyak rasa di dalamnya. Itupun jika buah-buahan yang kau gunakan terdiri daripada buah-buahan yang berlainan jenis. Jika buah yang kau guna datang daripada spesies yang sama, maka kau cuma boleh rasa satu perisa. Sebenarnya, kau boleh mencorakkan rasa cinta yang kau alami dengan bermain dengan perisa-perisa yang kau suka. Macam aku, aku sukakan variasi dan aku seorang yang tamak. Sebab itulah aku pilih koktel buah.
Hari itu, aku dan dia bertemu lagi di Café Cinta. Aku lihat dia segak dengan T-shirt biru polos berkerah. Macam biasa, dia lebih selesa mengenakan jeans apabila keluar denganku. Daripada jauh, dia sudah menghadiahkan satu senyuman kepadaku. Disebabkan hari ini aku kurang membuat pahala, maka aku pun membalas kembali senyumannya. Kan kata orang, senyum tu suatu sedekah. “Assalammualaikum,” suaranya menampar gegendang telinga aku.
Aku mengangguk seraya menjawab salamnya. Pantas, tangannya menarik kerusi yang berada di hadapanku. “Lama tunggu?” Aku berpura-pura melihat jam tangan yang aku pakai di pergelangan tangan kiri. Kemudian memandang wajah Irfan semula. “Tak juga, tapi…” sengaja aku berjeda di situ. Mahu melihat reaksi Irfan. Kening Irfan sudah bertaut. Namun mulutnya masih terkunci. Mungkin mahu mendengar penjelasan daripadaku. “Adalah dua jam,” ujarku bersahaja.
Bukan sekali aku telah dipermainkan oleh Irfan. Kerana itu aku bertanya dahulu minta kepastian. “Bukalah dulu,” ujar Irfan dengan senyuman lebar di bibirnya. Aku dengan penuh rasa syak wasangka menarik bungkusan itu ke arahku. Namun kerana perasaan ingin tahu bermaharajalela di dalam hatiku, aku kuatkan hati untuk membuka kotak itu tidak kira jika aku terpaksa berhadapan dengan seekor katak seperti selalu.
Sewaktu reben yang ada di kotak itu aku leraikan jantungku mula berdebar-debar. Keringat sudah mula membasahi dahi. Lalu, pembalut bungkusan itu kubuka dengan cermat. Dan kubuka kotak itu perlahan-lahan. Maka, terlihatlah olehku suatu benda aneh di dalamnya. “Eh!” suaraku naik satu oktaf.
Irfan kulihat semakin lebar senyumannya. Tidak membiarkan aku terlalu lama mengelamun kerana tidak percaya melihat isi di dalam kotak itu, maka Irfan mencapai kotak itu daripada tanganku seraya mengeluarkan sebuah bekas baldu bewarna merah. Dan entah bila masanya, Irfan sudah melutut di sebelahku dan memegang sebentuk cincin dan mengucapkan sesuatu kepadaku. Aku yang kaget pada waktu itu, langsung tidak mendengar buah butir perkara yang diucapkan oleh Irfan. Maka aku memintanya untuk mengulang buat kali keduanya. “Kau cakap apa? Aku tak dengar,” ujarku antara dengar dengan tidak. “Aku cakap, kau nak tak jadi isteri aku?”
Sepantas itu juga, Irfan menyambar tangan kiriku dan terus menyarungkan cincin itu ke jari manis ku. Setelah itu, kulihat Irfan tersenyum puas. Aku pula hanya ternganga dengan tindakan spontannya itu. “Ni kes kahwin paksa ke apa ni?” soalku benar-benar ingin tahu. “Paksa rela,” ujar Irfan bersahaja dan dalam tawa. Melihat mukaku yang seolah-olah minta penjelasan, akhirnya Irfan memandang tepat ke anak mataku. “Kalau aku tak paksa pun, aku tahu, kau rela,” ujarnya penuh yakin.
Satu senyuman dihadiahkan lagi kepada aku. Aku dah tak tahu nak kata apa. Tapi jika difikir-fikirkan balik kata-kata Irfan tadi, memang ada betulnya. Kalau dia tidak memaksa sekalipun, aku rela. Kerana sepanjang aku hidup 25 tahun ini, aku hanya rapat dengan seorang lelaki dan lelaki itu hanyalah Irfan. Aku menelan liur. Tiba-tiba dalam hati aku sudah ada semacam pesta bunga api. Ni ke yang orang kata rasa cinta? Dan air liur yang kebiasaannya jika kutelan tak rasa apa, tiba-tiba hari ini rasa manis macam epal.
Dekat sinilah aku kenal seorang mamat berjiwa sastera. Bukanlah kenal rapat sangat pun. Cuma aku tahulah, dia pengunjung setia kolam ni macam aku. Dan setiap kali dia datang sini, pasti ada sebuah buku nota kecil warna hitam dibawa bersama. Dan setiap kali itu jugalah, aku dengar dia mengucapkan kata-kata puitis dan menulisnya di dalam buku tersebut. “Ehem.” Aku cuba memancing perhatian si lelaki sastera itu.
Dan pastinya, lelaki itu menoleh ke arah aku. Aku pula semacam seorang gadis gedik, cepat-cepat menghadiahkan senyuman kepadanya. “Nak jadi macam A. Samad Said ke? Maksud saya awak minat sastera?” soalku teragak-agak. Bimbang juga aku digelar minah kepoh oleh lelaki sastera ini. “Kalau cinta semanis koktel, akan kupancing dengan mata kail.”
Nah! Itu dia. Pantun dua kerat dia bagi dekat aku. Memang sah lelaki ni minat sastera. Kagum sekejap aku dengan lelaki spesies ini. “Terkadang masam terjelir lidah, takkan aku menyerah kalah.” Eheh! Macam lain pula bunyinya pantun dua kerat yang ni. Berdiri jugak bulu roma aku bila dengar pantun ni. “Patutlah aku telefon daripada tadi kau tak angkat!” bentak suatu suara yang membuatkan tulang-tulang osikelku bergetar dengan lebih laju menyampaikan bunyi yang bingit ke dalam membrane timpani.
Pantas aku melihat ke arah bunyi suara itu. Lelaki kacak mengalahkan pelakon idaman Malaya kala ini ala-ala Abang AA sedang berdiri menatap aku daripada atas sehingga bawah. “Handphone kau letak mana?” bentaknya keras kepadaku. Adrenalin memicu aku untuk meraba-raba poket seluarku. Kosong. Tak ada di situ. Aku raba pula ke dalam beg. Kosong juga. Panik sebentar. “Dekat bilik kot…” ujarku serba-salah memandang wajah Irfan. “Sengaja tak bawak pergi kelas supaya aku tak dapat cari kau sebab kau nak melayan jantan dekat kolam ni?” soal Irfan kasar.
Darah yang mengalir dalam badan aku ni dah terasa menggelegak. Nak cakap apa pun, cakaplah. Tapi jangan nak buat fitnah pula duk kata aku melayan jantan mana-mana. Aku tak suka. Kalau kau tak tahu apa-apa, jangan cakap apa-apa. Tu prinsip aku. Aku hanya mendiamkan diri. Pada aku, jika Irfan sudah membuat penilaian sendiri mengenaiku, walau aku kemukakan hujah sehebat manapun belum tentu aku dapat membela diriku sendiri.
Aku bangun daripada bangku. Pantas juga tanganku mencapai beg galasku. Aku pandang wajah Irfan sekilas sebelum aku melanggar bahunya dan membawa haluanku mengikut derapan tapak kakiku saat itu. Sekarang, siapa cakap koktel tu rasa dia manis je? Kalau dalam koktel tu kau letak anggur, kau akan rasa masam macam yang aku rasa sekarang.
Cinta tu tak rasa manis je. Adakalanya, bila tiba kau ada krisis, cinta tu akan rasa masam. Kau nak telan, tapi tak tahan masam. Bila kau nak buang, kau rasa sayang. Walaupun aku secara rasminya dah tak bertegur dengan Irfan dalam jangka masa 5184000 detik, tapi setiap kali aku fikir nak minta putus, aku akan terdiam sendiri. Aku rasa aku masih sayang padanya. Apa yang dia dah buat dekat aku ni, buat aku rasa geram.
Seminggu sudah aku tidak bertegur sapa dengan Irfan walaupun banyak kali juga kami terserempak di blok akademik. Baik aku,mahupun dia, kami sama-sama tidak mahu mengalah. Dan di petang yang redup itu, aku sekali lagi duduk di tepi kolam. Aku sekadar menikmati angin yang berpuput lembut. Aku lihat sekeliling. Tiada lelaki sastera di hujung kolam itu seperti selalu. Mungkin kerana kejadian tempoh hari, dia tidak berani lagi untuk berkongsi kolam ini dengan aku.
Aku helakan nafas yang terasa berat. Sedikit lapang dadaku. Aku renung ikan-ikan yang sedang galak melompat-lompat di dalam kolam itu dengan asyik sekali. Sehinggalah tiba-tiba ada suatu suara di belakangku menyapa. “Tengok ikan tu nampak muka aku ke?” Suara itu menampar gegendang telinga aku. Aku menoleh ke belakang. Dan aku dapat lihat Irfan menatapku dengan senyuman yang memekar di bibirnya yang tipis itu. “Kalau nampak muka kau, tak nak aku tengok ikan tu,” ujarku bersahaja sambil membalikkan semula wajahku memandang kolam. “Kau marah lagi ke dekat aku?” soal Irfan serius.
Sebentar kemudian, aku dengar derap kakinya menghampiri aku. Dan dia terus duduk di sebelahku tanpa rasa segan silu. “Buat apa nak marah?” soalku kembali kepada Irfan. Waktu itu, aku masih berkeras untuk tidak memandang wajahnya. “Nah, ambil ni. Aku buat untuk kau,” ujar Irfan tanpa mempedulikan soalan yang aku ajukan kepadanya tadi. Aku masih memeluk tubuhku. Tidak berkata ya, mahupun tidak. Protes kononnya. Aku juga tidak tahu apa yang dilakukan oleh Irfan namun aku dengar bermacam-macam bunyi di sebelahku. Dari bunyi sudu hinggalah bunyi gelas berlaga. Apa juga yang dibuat si Irfan ni. “Bukak mulut… Aaaaa….” ujar Irfan sewaktu dia betul-betul berdiri di hadapanku dan menyuakan sesuatu ke dalam mulutku.
Dek kerana tindakan refleks, aku terus membuka mulutku dan menelan apa sahaja yang disuapkan oleh Irfan sebentar tadi. Wajah Irfan aku renung dalam-dalam. “Tu nama dia koktel buah,” ujar Irfan tenang. Aku tahu. Melalui rasanya sahaja aku sudah tahu bahawa itu adalah koktel buah-buahan. Dan aku masih menatap wajah Irfan. Menanti dia menyambung buah butir bicaranya. “Dalam koktel tu, aku letak macam-macam buah. Ada epal merah, ada anggur, ada mangga, dan macam-macam lagi.” Aku hanya memerhati Irfan sambil mengidentifikasi rasa buah-buahan yang disebutkannya tadi. “Sekarang kau rasa perisa dalam mulut awak tu? Manis ke? Masam ke?” soal Irfan lagi.
Sukar aku nak cakap apa yang aku rasa. Sebab saat ini, aku rasa manisnya buah epal, aku rasa masamnya buah anggur, ada rasa masam manis datang daripada buah mangga. Sudahnya, aku tak tahu nak cakap apa perisa spesifik yang aku rasa sekarang. “Macam-macam rasa ada,” jawabku tanpa berdalih. “Dalam cinta ni, macam tu juga. Ada masa, kau akan rasa cinta aku pada kau manis macam epal. Ada masa, bila kita bertengkar macam ni, kau akan rasa cinta aku tu masam belaka macam anggur yang kau rasa dalam koktel tu,” ujar Irfan mendatar.
Aku bingung. Masih tidak dapat menangkap kata-kata Irfan. “Jadi?” soalku sepatah. Apa kaitannya si koktel ni dengan cinta aku dengan dia? “Jadi, anggaplah apa yang kita rasa sekarang ini adalah sebahagian daripada perisa dalam koktel yang kau makan tadi. Walaupun ada masamnya, kau tetap rasa manisnya,” tokok Irfan lagi. Ah. Baru aku faham maksudnya.
“Sayang, abang nak kahwin lagi satu boleh?” soal Irfan tiba-tiba sewaktu kami mahu menjamah sarapan pagi. Tersedak aku dibuatnya. “Apa?” soalku sepatah. Anak mataku sudah mahu terkeluar daripada soket mendengar pertanyaan Irfan tadi.
Aku rasa otot Levator Palpelbra Superior telah bekerja keras untuk menguak kelopak mataku selebar-lebarnya saat ini. “Abang tanya, kalau abang nak kahwin lagi satu boleh?” ujar Irfan dengan nada manjanya. “Owhh…”
Aku meneguk air Milo yang masih berasap di dalam gelas. Kelat tekak aku menerima berita yang baru aku dengar daripada Irfan sebentar tadi. “Ini abang nak bagi Ira rasa koktel perisa apa pula?” soalku selamba. “Alang-alang nak bermadu, kenapa sayang tak nak cuba koktel perisa mengkudu,” ujar Irfan juga selamba. “Koktel perisa mengkudu? Abang jelah makan kalau macam tu,” ujarku seraya bangkit daripada kerusi untuk menuju ke dapur. “Merajuklah tu,” Irfan menegurku sambil mencapai tanganku dan menarik aku untuk duduk di pangkuannya.
Aku hanya memandang kakiku yang aku kuis-kuis di permaidani. Memang aku merajuk. Ada ke dia cakap nak kahwin lagi satu. “Pagi-pagi kena makan koktel perisa mengkudu, Jangan risau sayang I always love you,” bisik Irfan ke telingaku.
Aku memandang wajah Irfan, mencari ketulusan daripada wajahnya. Dan setelah aku menemui jawapan yang aku inginkan, pantas aku meleraikan pelukanku daripada Irfan dan mencubit pipinya. Irfan berteriak kesakitan dan aku pula pantas juga menyelamatkan diri sebelum Irfan melakukan serangan balas terhadapku.
Perisa koktel. Daripada satu hidangan, kau akan dapat merasa pelbagai perisa. Dan perisa koktel itu cukup untuk menggambarkan rasa cinta antara aku dan Irfan. Dan daripada perisa koktel itu, aku belajar untuk bercinta dengan Irfan dan kini aku belajar untuk hidup bersamanya.