LONDON, 31 MEI – Perjanjian perdagangan antara United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand berkuat kuasa pada tengah malam kelmarin, dengan penghantaran khas barangan British seperti komik Beano yang ditandatangani menjadi antara barangan pertama dihantar di bawah pengaturan baharu itu, lapor PA Media/dpa.
Ia adalah perjanjian perdagangan pertama pasca-Brexit yang berkuatkuasa dan dilaksanakan selepas UK, Australia dan New Zealand menyelesaikan proses ratifikasi domestik masing-masing.
Di bawah terma urus niaga mulai hari ini, tarif ke atas semua eksport barangan UK ke Australia dan New Zealand dimansuhkan, pembukaan akses kepada perkhidmatan serta birokrasi dikurangkan untuk perdagangan digital dan visa kerja.
Setiausaha Perniagaan dan Perdagangan UK, Kemi Badenoch berkata, perjanjian perdagangan pertama itu merupakan detik bersejarah dengan perniagaan antara ketiga-tiga negara kini boleh meraih manfaat berdasarkan statusnya sebagai negara perdagangan bebas selain boleh merebut peluang baharu, memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi dan gaji yang lebih tinggi.
Sempena tarikh penting itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa Britain, Nigel Huddleston akan melawat Pusat Pengedaran Selatan DHL berhampiran Heathrow untuk melihat dua konsainan barangan UK pilihnya dihantar ke Australia dan New Zealand.
Barangan British dari seluruh negara itu termasuk komik Beano yang ditandatangani oleh editor komik, John Anderson, wiski Welsh malt tunggal Penderyn, Brighton Gin, beg The Cambridge Satchel Co dan pembancuh Fever-Tree daripada Kerajaan UK kepada menteri perdagangan Australia dan New Zealand. – Bernama