Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkahwinan Mahalini, Rizky Febiah tidak sah!

    Pejabat Agama Jakarta Selatan, Indonesia pada Isnin menolak permohonan pengesahan pernikahan pasangan penyanyi Rizky Febian dan Mahalini.

    Suara melaporkan permohonan tersebut ditolak selepas pernikahan mereka didapati tidak sempurna dari segi rukun nikah ditetapkan dalam agama Islam.

    Susulan itu, pasangan berkenaan diminta melangsungkan semula pernikahan mereka bagi memastikan ia sah mengikut hukum syarak dan rukun ijab dan kabul.

    “Permohonan mereka secara automatik ditolak kerana pernikahan itu tidak memenuhi salah satu rukun nikah.

    “Bagi memastikan pernikahan tersebut sah di sisi agama dan undang-undang, mereka disarankan untuk bernikah semula mengikut semua hukum dan rukun ijab dan kabul,” kata wakil pejabat agama berkenaan.

    Rizky dan Mahalini dicadangkan untuk bernikah semula. – mStar

    Dalam pada itu, wakil tersebut menjelaskan masalah wali menjadi punca pernikahan pasangan tersebut tidak sah di sisi agama.

    Ia berikutan, Mahalini yang juga seorang mualaf menggunakan seorang ustaz sebagai wali yang bertentangan dengan rukun nikah.

    “Selepas Mahalini memeluk Islam, bapa kandungnya tidak boleh bergelar wali kerana tidak beragama Islam.

    “Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang ustaz bertindak sebagai wali kepada Mahalini dan menikahkan mereka.

    “Bagaimanapun ustaz berkenaan tidak termasuk dalam kriteria iaitu bukan wali nasab atau wali hakim yang sesuai mengikut undang-undang dan rukun nikah di dalam Islam,” jelasnya.

    Sebaliknya, Mahalini sepatutnya merujuk isu berkaitan wali ke pejabat agama sebelum melangsungkan pernikahan bagi membolehkan wali hakim dilantik untuknya.

    Pada 31 Oktober lalu, pegawai Mahkamah Syariah Jakarta Selatan, Indonesia mendedahkan perkahwinan Rizky dan Mahalini masih belum didaftarkan.

    Difahamkan, Rizky dan Mahalini baharu menghantar permohonan pengesahan pernikahan mereka pada 10 Oktober lalu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda