Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa Da’ie berkaliber

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Penyebaran Dakwah telah mengadakan Multaqa Da’ie Bersama Profesor Dr Haji Abdul Somad Batubara di Dewan Persidangan, PDI, Kampung Pulaie, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Acara diisikan dengan ceramah yang bertajuk ‘Memperkasa Da’ie Berkaliber Mercu Kejayaan Ummah Berkualiti’ yang disampaikan oleh penceramah undangan, Profesor Dr Haji Abdul Somad Batubara.

    Dalam ceramah tersebut, beliau mengongsikan pengalaman dan panduan untuk memperkasakan dan memantapkan dakwah dengan berkesan sekali gus memantapkan sahsiah seorang da’ie. Antaranya, penting bagi seorang da’ie sentiasa menjaga wuduk sebelum dan semasa menyampaikan ceramah kepada umum.

    Jelasnya lagi, seorang da’ie juga hendaklah merancang apa yang hendak disampaikan kepada pendengar dan bukannya menyampaikan sesuka hati tanpa mendapatkan rujukan yang betul.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan cenderahati kepada penceramah undangan pada majlis tersebut.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menghadiri majlis tersebut selaku tetamu kehormat.

    Di samping itu, seorang da’ie mestilah menjaga penampilan dalam berpakaian. Perlunya juga sentiasa mengadakan muzakarah bersama para da’ie yang lain.

    Multaqa Da’ie tersebut juga diharap akan dapat memberikan manfaat dan meningkatkan kualiti ceramah para peserta yang terlibat, dan dengannya dakwah di negara ini akan bergerak lebih maju seiring dengan keperluan semasa program yang merupakan aktiviti sokongan untuk mencapai objektif strategik di dalam Rancangan Strategik PDI bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Salah satu objektif strategi agama, iaitu dakwah dan syiar Islam tersebar luas bagi menambah bilangan da’ie berwibawa.

    Antara objektif program ini diadakan adalah sebagai wadah untuk para da’ie bertemu ulama dan meraih peluang untuk menimba ilmu sekali gus memantapkan kredibiliti pegawai-pegawai PDI dalam dakwah khususnya menyampaikan ceramah, serta menyuntik semangat para da’ie di Negara Brunei Darussalam untuk menghadapi cabaran dakwah masa kini.

    Para peserta program terdiri daripada para pegawai PDI, para pegawai di bawah KHEU, penceramah-penceramah undangan PDI, da’ie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan para belia daripada Program Keugamaan Belia, KHEU.

    Multaqa Da’ie terdahulu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat oleh Pegawai Pelajaran Ugama, PDI, Haji Badaruddin bin Haji Basar.

    Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda