Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Perkasa kesejahteraan awam, tingkat perkhidmatan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Peruntukan berjumlah $128,343,070 untuk Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bagi Tahun Kewangan 2022/2023 telah diluluskan sebulat suara pada hari keempat permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Terdahulu dalam membentangkan peruntukan berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong berkata, peruntukan kementerian adalah selaras dengan tema belanjawan iaitu ‘Memperkasa Kesejahteraan Awam Ke Arah Sosio-Ekonomi yang Lebih Resilien’.

    Yang Berhormat Pehin berkata, dalam keadaan negara dan dunia masih berhadapan dengan COVID-19, ia mengharuskan kementeriannya untuk membuat perubahan daripada segi inisiatif, dasar, akta dan perundangan termasuklah pendekatan secara konsisten dan berterusan pengunaan teknologi maklumat dalam pengurusan kementerian dan jabatan-jabatan dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai dalam mendukung aspirasi negara iaitu ‘Negara Pintar’ dan revolusi industri 4.0.
    Yang Berhormat Pehin dalam pembentangannya lagi menyatakan bahawa bagi memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam, Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) berterusan meningkatkan tahap perkhidmatan kepada orang ramai dalam pelbagai perkhidmatan.

    JIPK dalam fasa terakhir pelaksanaan Immigration and National Registration System (INRS) yang bertujuan mengumpul dan mengintegrasi maklumat peribadi individu secara komprehensif termasuk data biometrik.

    “Ini juga akan membolehkan perkongsian sumber data maklumat antara agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan. Dalam hubungan itu, Insya-Allah, Sistem Pengawalan Sempadan (BCS) di bawah INRS akan mula digunakan pada April ini.”

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa membentangkan peruntukan pada mesyuarat MMN. – Gambar Infofoto

    Di samping itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan Jabatan Buruh dan JIPK akan terus meneliti dan menyelaras prosedur dan peraturan dari semasa ke semasa, termasuk pengemaskinian dan penguatkuasaan Perintah Pekerjaan 2009 dan Akta/Peraturan-peraturan Imigresen melalui tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan secara berterusan dan konsisten secara bersendirian mahupun sepadu dengan agensi-agensi berkenaan serta bantuan orang ramai dan pemimpin akar umbi.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) pula berperanan ke arah mengwujudkan masyarakat yang sentiasa siap siaga atau emergency dan disaster ready.

    Ke arah itu, langkah-langkah bagi meningkatkan kapasiti akan menjadikannya berdaya tahan.

    Yang Berhormat Pehin menyentuh mengenai Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan yang telah membuat penelitian dan pengemaskinian semula terhadap draf Rangka Kerja Dasar Strategik Pengurusan Bencana atau Disaster Management Strategic Policy Framework (DMSPF) dan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.”

    Program-program keutamaan dalam dasar itu, dibentuk untuk mempromosikan keselamatan, kedayatahanan dan kemakmuran ekonomi dan alam sekitar melalui pendekatan seluruh negara dalam melindungi kesejahteraan masyarakat melalui tujuh program keutamaan yang mengandungi objektif-objektif selaras dengan sasaran Wawasan 2035.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata dalam usaha kementeriannya untuk memantapkan perpaduan masyarakat, jabatan-jabatan daerah secara berterusan melaksanakan tindakan-tindakan bersesuaian bagi mengukuhkan insitusi mukim dan kampung.

    Usaha-usaha itu, jelasnya, termasuk projek rezoning mukim dan kampung yang telah pun dilaksanakan bagi kawasan-kawasan di Kampong Ayer dan juga bagi mukim dan kampung di kawasan darat secara berperingkat-peringkat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mula mengundi dalam pilihan raya terbesar dunia

    NEW DELHI, 19 APRIL - Berjuta-juta orang India mula mengundi pada hari ini dalam pilihan raya enam minggu yang merupakan referendum ke atas Narendra...