Sunday, March 16, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkembangan jangkitan COVID-19 di tiga negara ASEAN

    ASEAN, 2 OGOS – Jangkitan COVID-19 di tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia telah menunjukkan peningkatan dengan Indonesia terus melaporkan tambahan 1,519 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 111,455 kes.

    Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, sejumlah 63,366 pesakit masih dalam pemantauan.

    Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 43 lagi kematian berlaku menjadikan jumlah keseluruhan korban di republik itu akibat koronavirus meningkat kepada 5,236 orang.

    Sementara itu, Singapura telah mencatat 313 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan lima lagi kes import.

    Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan 12 tengah hari tadi berkata semua kes import itu telah diserahkan Notis Duduk Dirumah sebaik sahaja tiba di sini.

    Dengan kes terbaharu ini, jumlah keseluruhan kes di republik itu mencecah 52,825.

    Terdapat 117 kes disahkan masih ber-ada di hospital dan daripada jumlah itu kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur-ansur pulih dan tiada yang dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi.

    Manakala, Malaysia pula mencatatkan sebanyak 14 kes baharu hari ini berbanding sembilan kes semalam dengan 13 daripada kes baharu itu membabitkan penularan dalam negara.

    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kini 8,999 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 210 kes.

    Bagaimanapun, jumlah kematian akibat jangkitan koronavirus baharu itu kekal 125 orang.
    Kesemua 13 kes penularan dalam negara merupakan warganegara Malaysia iaitu 11 kes daripada Kluster PUI Sivagangga dan dua kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Laut Labuan.

    “Kes pertama (di Sabah) merupakan pelajar yang tiba dari Sandakan yang akan memulakan pengajian di Labuan manakala kes kedua pula dari Penampang yang datang ke Labuan untuk bercuti bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagi satu kes import yang dilaporkan, ia melibatkan warganegara Filipina yang mendapat jangkitan di luar negara.

    Dr Noor Hisham berkata terdapat 17 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih sepenuhnya sebanyak 8,664 kes atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

    Tambahnya, terdapat hanya dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda