Oleh Daniel Lim
BELAIT, 2 SEPT – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu menyediakan peluang bagi ahli-ahli pengakap muda mendapat pemahaman lebih baik mengenai semangat kepengakapan, Kumpulan Pengakap 3006 Sekolah St Margaret dan Kumpulan Pengakap 3010 Sekolah St James telah menganjurkan kem pengenalan selama tiga hari.
Seramai 11 orang ahli pengakap muda berusia 12 hingga 15 tahun dari Daerah Belait telah menyertai kem berkenaan yang diadakan di sekitar premis Ibu Pejabat Persatuan Pengakap Daerah Belait dan berakhir hari ini.
Pemimpin Pengakap Kumpulan Pengakap 3006, Wendy Chai menjelaskan kem berkenaan bermatlamat sebagai platform pengenalan untuk membolehkan para peserta membiasakan diri mereka dengan aktiviti berpe-ngakap, kerana kebanyakan mereka baru sahaja menjadi ahli.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah kursus pengenalan seperti permainan pengakap yang mudah di samping taklimat mengenai sejarah pergerakan pengakap serta peraturan dan budaya berpengakap.
Ahli-ahli pengakap juga bermalam di premis berkenaan selama tiga hari dan dua malam di mana mereka berpeluang mendirikan khemah serta meneruskan aktiviti-aktiviti pada sebelah malam.
Dalam pada itu, kem serupa juga telah diadakan bagi seramai 40 orang ahli pengakap tunas dari Kumpulan Pengakap 3010 Sekolah St James pada 29 dan 30 Ogos lalu.