Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhidmatan dobi bantu wanita Syria

    ALEPPO – Sambil memegang timbunan pakaian di atas bahu mereka, beberapa wanita Syria kerap mencuci pakaian di timur Aleppo dan berkongsi cerita sehingga kitaran mesin 45 minit berakhir.

    Perkhidmatan dobi itu ditubuhkan dua tahun lalu bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan untuk mencuci pakaian di tengah-tengah kekurangan bekalan elektrik dan ekonomi di Aleppo, selepas kebanyakan penduduk sudah kembali ke kediaman mereka susulan kekalahan pemberontak yang berakhir pada penghujung tahun 2016.

    Walaupun kemenangan berjaya diraih, keadaan di timur Aleppo menjadi lebih sukar berikutan kemusnahan yang disebabkan oleh peperangan sebelum ini sehingga menjadikan kehidupan penduduk yang kembali ke Syria menjadi sukar, semakin teruk apatah lagi dengan kekurangan wang selepas bertahun-tahun berpindah-randah. Beberapa inisiatif telah dilancarkan dalam penyelarasan dengan pertubuhan antarabangsa untuk membantu penduduk tempatan yang mengalami kesukaran hidup.

    Perkhidmatan dobi itu disediakan oleh pusat yang dipanggil sebagai Arabesque, dibina di kawasan Qadi Askar di timur Aleppo oleh Persatuan Pembangunan Sosial dan Agensi Pelarian PBB, UNHCR bagi membantu penduduk setempat. Di dalam bilik dobi tersebut, sejumlah 12 mesin basuh diletakkan bersebelahan dan dilengkapi dengan baldi plastik di atasnya untuk orang ramai mengosongkan pakaian, tuala dan baju tidur mereka. Suri rumah tempatan akan datang setiap hari untuk mendaftarkan nama mereka dan membuat temu janji, yang lazimnya akan diberikan setiap minggu. Apa yang mereka perlu bawa ialah bahan pencuci pakaian mereka kerana perkhidmatan dobi tersebut hanya menyediakan mesin basuh.

    Rummaneh berkata kepada Xinhua bahawa dia bertemu dengan rakan-rakannya setiap minggu di dobi tersebut untuk berbual, berkongsi kebahagiaan dan kesedihan. “Kami bercakap dan mendengar antara satu sama lain serta menghabiskan masa dengan baik di sini, saya mendapat banyak kawan baharu,” katanya.

    Rita Khawam, penyelaras di pusat Arabesque, berkata bahawa dua tahun yang lalu, inisiatif itu bermula selepas keperluan untuk penduduk tempatan meruncing. “Ketika kami mula-mula menjalankan operasi ini, kami mengenal pasti apa yang amat diperlukan oleh penduduk di kawasan ini dan kami mendapati, mereka mempunyai masalah dalam mendapatkan mesin basuh apabila mereka pulang ke rumah,” kata Khawam kepada Xinhua. Dia berkata sekitar 200 keluarga mendapat manfaat daripada perkhidmatan tersebut setiap minggu malah lebih banyak penduduk datang pada musim sejuk kerana keperluan untuk membasuh pakaian. – Xinhua

    Suri rumah tempatan akan datang setiap hari untuk mendaftarkan nama mereka dan membuat temu janji, yang lazimnya akan diberikan setiap minggu. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda