Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Bersempena dengan Sambutan Jubli Emasnya yang dilancarkan Jumaat lalu, Persatuan Belia Kampung Lumapas (PERLU), hari ini, telah mengadakan acara senamrobik dan sukan ria di perkarangan Kompleks Sukan Sekolah Rendah Lumapas, di sini.
Acara yang bermula seawal 7 pagi itu menyaksikan penyertaan penduduk kampung termasuk para belia dan kanak-kanak serta kakitangan dan warga PERLU dan Sekolah Rendah Lumapas.
Juga hadir ke acara itu ialah Yang Dipertua PERLU, Pengiran Haji Hanafi bin Pengiran Haji Ahmad yang antaranya menjelaskan bahawa acara senamrobik berkenaan bukan sahaja khusus bagi acara berkenaan malah dibuat pada setiap hujung bulan bagi menyemarakkan suasana kampung sekali gus menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampung.
“PERLU cuba mengungkayahkan pelbagai aktiviti kesihatan seperti walkaton dan senamrobik dan ia juga dibuat atas permintaan yang menggalakkan di kalangan warga kampung dan juga kampung sekitarnya yang turut memeriahkan lagi aktiviti yang dianjurkan PERLU,” ujarnya.
Mengulas mengenai penglibatan belia kampung, beliau berkata, jumlah belia di kampung berkenaan sangat ramai dan PERLU sentiasa proaktif mencari pendekatan terbaik untuk menarik minat golongan muda berkenaan dengan menganjurkan aktiviti seperti itu dan juga mendedahkan mereka kepada aktiviti kebudayaan dan sosial yang sihat lain bagi perkembangan mereka.
“Kami berhasrat supaya aktiviti yang dijalankan ini akan memberikan seluruh golongan belia peluang mengasah bakat dan kebolehan masing-masing selain mendorong mereka untuk berani tampil di khalayak ramai bagi menjayakan mana-mana aktiviti yang berkebajikan dan bermanfaat kepada mereka dan masyarakat setempat,” tegasnya lagi. Menurutnya lagi, PERLU juga akan terus komited menjalankan sedaya mungkin apa jua bentuk aktiviti yang antaranya bagi beliau akan menjadi motivasi dan pemangkin pembangunan belia selaku penggerak utama bangsa dan negara yang katanya sangat selaras dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’.