Saturday, November 23, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permintaan penumpang global meningkat 7.1 peratus

    KUALA LUMPUR, 1 NOV – Jumlah permintaan penumpang global yang mengikut hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) meningkat 7.1 peratus tahun-ke-tahun pada September 2024 berbanding tahun lepas, iaitu paras tertinggi sepanjang masa, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

    Dalam kenyataan hari ini, katanya jumlah kapasiti berdasarkan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) menokok 5.8 peratus tahun-ke-tahun.

    “Faktor muatan pada September adalah 83.6 peratus tahun-ke-tahun, menokok 1 mata peratusan berbanding September 2023,” menurut IATA.

    Pada asas tahun-ke-tahun, permintaan antarabangsa meningkat 9.2 peratus, kapasiti naik 9.1 peratus dan faktor muatan menambah 0.1 mata peratusan kepada 83.8 peratus.

    “Permintaan domestik meningkat 3.7 peratus tahun-ke-tahun, kapasiti naik 0.7 peratus dan faktor muatan adalah 83.3 peratus (+2.4 mata peratusan berbanding September 2023),” katanya.

    Jumlah permintaan penumpang global meningkat 7.1 peratus tahun-ke-tahun bulan September berbanding tahun lepas, menurut IATA.

    Sementara itu, Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata musim perjalanan waktu puncak tahun ini berakhir dengan permintaan pada paras tertinggi sepanjang masa, yang menjadi ‘berita baik’ bukan sahaja untuk penumpang, malah kepada ekonomi global.

    “Setiap penerbangan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan perdagangan,” katanya.

    Dalam kenyataan berasingan, menurutnya permintaan kargo udara global, yang diukur mengikut tan kargo bagi setiap kilometer (CTK) mengukuh 9.4 peratus pada September 2024 tahun-ke-tahun, pertumbuhan bulan ke-14 berturut-turut.

    Selain itu, kapasiti, diukur dalam CTK tersedia (ACTK), naik 6.4 peratus berbanding setahun lepas.

    Menurut kenyataan itu, ia sebahagian besarnya berkaitan pertumbuhan kapasiti ruang kargo antarabangsa, yang meningkat 10.3 peratus, melanjutkan trend pertumbuhan kapasiti tahunan dua angka kepada 41 bulan berturut-turut.

    Bagi trend jangka panjang, dunia kargo udara akan menjejaki keputusan pilihan raya AS sebagai petunjuk bagaimana dasar perdagangan AS akan berkembang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda