BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Kedutaan Besar Jepun di Brunei Darussalam kini membukakan permohonan bagi Ujian Kecekapan Bahasa Jepun (JLPT) 2019.
Dalam kenyataannya mengumumkan perkara itu, Kedutaan Besar Jepun menyatakan bahawa JLPT 2019 akan diadakan pada 1 Disember 2019 di Pusat Bahasa, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Kenyataan menjelaskan, JLPT yang telah ditawarkan oleh Yayasan Jepun sejak 1984 adalah cara yang boleh dipercayai untuk menilai dan mengesahkan kecekapan Bahasa Jepun bagi bukan penutur asli.
Di Brunei, JLPT telah dilancarkan pada 2008 dan sejak itu diadakan setiap Disember.
JLPT mempunyai lima tahap iaitu N1, N2, N3, N4 dan N5 dengan tahap paling mudah ialah N5 dan N1 paling sukar.
Mereka yang berminat perlu menghantar borang permohonan ke Kedutaan Jepun tidak lewat 6 September 2019.
Panduan ujian termasuk borang permohonan kini boleh didapati di kaunter Bahagian Kebudayaan dan Pendidikan, Kedutaan Jepun dengan bayaran $5 dan bayaran ujian adalah $30 bagi setiap tahap.
Maklumat lanjut mengenai ujian berkenaan boleh didapati daripada laman sesawang JLPT di https://jlpt.jp/e/index.html.