GAZA – Peniaga dan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang dikepung mengadu perniagaan kereta ‘tidak berkembang’ di tengah-tengah larangan import.
Pihak berkuasa Israel telah menghalang kemasukan kereta import ke wilayah dikepung itu hampir tiga bulan dan tidak menunjukkan prospek akan membatalkan larangan tersebut.
Munib Abu Sido, pemilik syarikat import dan eksport kereta di Kota Gaza, memberitahu Xinhua bahawa dia tidak pernah mengalami keadaan teruk seperti itu selama 30 tahun dalam perniagaan itu.
“Saya biasa mengimport sekurang-kurangnya 20 atau 30 buah kereta setiap hari melalui persimpangan Erez (seperti peniaga kenderaan lain), dan kebanyakannya telah dijual kepada pelanggan sebelum tiba,” kata bapa kepada lima anak, berusia 54 tahun itu.
“Seperti yang anda lihat, bilik pameran saya sekarang hanya mengandungi 10 buah kereta. Saya telah menjualnya sejak berbulan-bulan,” tambahnya.
Lebih teruk lagi, dia terpaksa membayar yuran simpanan kepada pihak berkuasa Israel untuk 40 kereta, dengan kira-kira AS$5 setiap satu sehari.
Sementara itu, harga kenderaan telah menyaksikan peningkatan signifikan sejak kereta import tidak dibenarkan memasuki kawasan pesisir, yang menjadikan permintaan jauh melebihi penawaran.
Harga kereta jenis moden di Gaza rata-rata meningkat antara AS$3,000 hingga AS$15,000 menurut para peniaga.
Alaa Badwan, pemilik syarikat import dan eksport kereta lain di Gaza menjelaskan pandemik COVID-19 adalah sebab lain bagi kenaikan harga kereta di Gaza dengan pantas.
“Banyak pengeluar kereta, terutama Korea, menghentikan pengeluaran lebih setahun kerana wabak COVID-19,” katanya, sambil menambah kos pengangkutan juga meningkat.
Abu Sido dan Badwan mengadu mereka masih perlu membayar sekitar AS$7,000 setiap bulan untuk gaji pekerja mereka dan bil elektrik serta air, namun hampir tiada keuntungan daripada jualan.
Sementara itu, krisis perniagaan kereta di Gaza mendorong sebilangan penduduk menjual kereta terpakai mereka dengan harga lebih tinggi daripada tiga bulan lalu.
Salah Mohammed, seorang lelaki dari Bandar Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, menjual kereta lamanya dua bulan yang lalu dan merasa bertuah dapat memperoleh sekitar AS$2,000. Tetapi kemudian, dia menyedari dia tidak mampu untuk memiliki kenderaan lain lagi.
“Saya bimbang saya perlu membeli kereta secara ansuran, yang bermakna hutang baharu yang tidak akan dapat saya bayar tepat pada waktunya,” kata Mohammed.
Israel menghukum ekonomi penduduk Gaza, menurut Khalil al-Zayan, jurucakap Kementerian Perhubungan yang dikendalikan Hamas di Semenanjung Gaza.
“Israel telah mengakhiri perang ketenteraannya, tetapi ia masih meneruskan perang ekonominya terhadap semua penduduk di sini,” tambah pegawai itu. – Xinhua