Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Perobohan 500 rumah haram atas tanah MUIS ditangguhkan

    LABUAN, 26 NOV – Kerja-kerja perobohan lebih 500 struktur haram di atas tanah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Kampung Gersik di sini ditangguhkan kepada 28 Februari 2024.

    Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata, keputusan itu susulan maklum balas kepada nasib penduduk terjejas dengan memberi mereka masa tambahan untuk mencari rumah alternatif.

    Suhaili berkata beliau telah menghubungi pegawai MUIS mengenai perkara itu, menekankan perlunya empati dan kefahaman terhadap individu terlibat.

    “Saya telah menyampaikan desakan menangguhkan perobohan itu kepada pegawai MUIS dan mereka bersetuju untuk melanjutkan (masa mencari rumah) hingga akhir Februari tahun depan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Kerja merobohkan lebih 500 rumah haram di tanah MUIS di Kampung Gersik akan ditangguhkan sehingga 28 Februari 2024. – Bernama

    Beliau berkata kelmarin, hampir 1,000 penduduk terjejas berkumpul di balai raya Kg Gersik untuk bertemu dengannya dan berkongsi kesukaran mereka mendapatkan rumah sewa mampu milik di tempat lain.

    “Mereka ini akan kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata jika perobohan diteruskan, kerana mereka tidak mempunyai tempat perlindungan untuk keluarga mereka.

    “Semasa menguatkuasakan undang-undang, penting untuk turut mempertimbangkan aspek kemanusiaan,” katanya.

    Suhaili berkata hampir 100 peratus daripada lebih 3,000 orang yang menetap di tanah itu adalah rakyat Malaysia, kebanyakannya mempunyai anak yang masih bersekolah.

    “Keluarga-keluarga ini telah menduduki tanah itu sejak 30 tahun lepas, keputusan untuk menangguhkan perobohan itu mencerminkan keseimbangan antara menguatkuasakan peraturan dan mempertimbangkan keperluan manusiawi mereka yang terjejas, memberikan mereka tempoh masa lebih panjang untuk mencari penyelesaian perumahan alternatif,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...