Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    China: Selesema, patogen lain punca penyakit pernafasan

    BEIJING, 26 NOV – Lonjakan penyakit pernafasan di seluruh China yang telah menarik perhatian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) disebabkan oleh selesema dan patogen lain yang diketahui dan bukan oleh virus baharu, kata kementerian kesihatan negara itu hari ini.

    Kelompok jangkitan pernafasan baru-baru ini disebabkan oleh pertindihan virus biasa seperti virus influenza, rhinovirus, virus respiratory syncytial, atau RSV, adenovirus serta bakteria seperti mikoplasma pneumoniae, yang merupakan penyebab biasa untuk jangkitan saluran pernafasan, kata jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.

    Kementerian meminta pihak berkuasa tempatan untuk membuka lebih banyak klinik flu dan mempromosikan vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak dan warga tua ketika negara itu bergelut dengan gelombang penyakit pernafasan pada musim sejuk penuh pertamanya sejak penghapusan sekatan COVID-19.

    “Usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan pembukaan klinik dan kawasan rawatan yang berkaitan, melanjutkan waktu perkhidmatan dan menambah bekalan ubat-ubatan,” kata jurucakap kementerian Mi Feng.

    Beliau menasihatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka dan menyeru pihak berkuasa tempatan untuk menumpukan perhatian kepada pencegahan penularan penyakit di tempat sesak seperti sekolah dan rumah jagaan.

    WHO awal minggu ini secara rasmi meminta China memberikan maklumat tentang peningkatan yang berpotensi membimbangkan dalam penyakit pernafasan dan kelompok radang paru-paru pada kanak-kanak, seperti yang disebut oleh beberapa laporan media dan perkhidmatan pemantauan penyakit berjangkit global. – AP

    Kanak-kanak dan ibu bapa mereka menunggu di kawasan pesakit luar di hospital kanak-kanak di Beijing pada 23 November. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...