KIRUNA, SWEDEN – Setiap kali dia bercerita mengenai pemindahan besar-besaran pusat bandarnya di Artik Sweden, Datuk Bandar Kiruna, Gunnar Selberg mendapat teguran daripada seorang penduduk yang sangat tidak berpuas hati: isterinya.
“Saya memberitahunya, ‘Bolehkah awda bayangkan? Untuk menjadi sebahagian daripada itu!
“Kami sedang membina sebuah bandar baharu sementara yang lama sedang dimusnahkan’,” katanya kepada AFP, sambil menunjukkan mockup besar projek pembinaan di lobi dewan bandar baru.
“Dia marah saya. Dia kecewa. Dia fikir ia menyedihkan. Dia tidak mahu melihat bandar lama pun. Ia membuatkan dia berasa kesal.”
Pekan Kiruna, pusat kepada lombong bawah tanah terbesar di Eropah, perlahan-lahan memindahkan pusat bandarnya tiga kilometer untuk membolehkan lombong bijih besi berkembang.
Memandangkan operasi perlombongan semakin berkembang di bawah tanah selama bertahun-tahun, kestabilan tanah di bawah bandar Lapland telah menjadi lemah, meningkatkan risiko keruntuhan di beberapa kawasan.
Tetapi sama seperti datuk bandar dan isterinya, langkah itu telah memecahbelahkan 18,000 penduduk bandar itu.
Kiruna diasaskan pada awal abad ke-20, apabila syarikat perlombongan LKAB ditubuhkan untuk menggali rizab bijih besi yang sangat besar, kira-kira 200 kilometer di utara Bulatan Artik.
Minggu lepas, LKAB mengumumkan penemuan rizab terbesar Eropah bagi unsur nadir bumi, di utara bandar itu.
Pilihan sukar
Pusat bandar baharunya telah dirasmikan pada September 2022.
Proses penempatan semula dilakukan sejak 15 tahun lalu, dan dijangka berterusan selama 20 hingga 30 tahun lagi atau mungkin dua kali ganda lebih lama jika lombong berkembang lebih dalam lagi pada masa hadapan.
Kos pemindahan tersebut, dianggarkan sekitar tiga bilion euro (AS$3.2 bilion), sebahagiannya ditanggung oleh LKAB.
Dewan bandaran baharu, struktur bulat yang indah yang direka oleh arkitek Denmark, Henning Larsen, merupakan bangunan pertama yang dibuka, pada 2018.
Menara jam besi yang mengagumkan yang pernah berada di atas dewan bandaran lama telah diletakkan secara simbolik di tepi pintu masuk dewan bandaran yang baharu.
Di seberang jalan, menara hotel moden menjulang ke langit sementara kren berdekatan sedang sibuk membina kolam renang dalam bangunan.
Tetapi ramai, termasuk datuk bandar, mengakui bahawa segelintir penduduk bergelut untuk menerima bandar baharu itu.
“Kadang-kadang orang cenderung untuk berfikir ‘Ia hebat! Ia projek yang sangat besar’.
“Pengendali, LKAB, sentiasa mempromosikan imej bahawa ia adalah sesuatu yang baik, bahawa semua orang gembira.
Tetapi hakikatnya bukan semua orang,” kata Selberg.
Menurut datuk bandar, penduduk sering mengadu bahawa mereka ‘terperangkap di antara dua bandar’, atau mereka ‘masih mahu pergi ke restoran di bandar lama’.
Di pusat bandar lama, keseluruhan bangunan telah dikosongkan
dan kini ditutup dengan pagar biru tinggi sementara menunggu untuk dirobohkan.
Kira-kira 6,000 orang sedang dipindahkan ke pusat bandar baharu, jumlah yang bakal meningkat jika LKAB diberi kuasa untuk melombong lebih dalam lagi.
Bandar hantu
Masa adalah penting untuk Kiruna.
Keretakan yang disebabkan oleh tanah yang bergerak telah mula muncul di sekolah terbesar di bandar itu, dan premis baharunya masih belum siap.
Di dewan bandaran, kebimbangan semakin meningkat kerana hospital semasa akan menjadi tidak selamat untuk digunakan sebelum yang baharu siap dalam masa beberapa tahun lagi.
Rumah bersejarah di bandar ini sedang dalam proses untuk diangkut ke pusat bandar baharu dengan konvoi khas.
Gereja kayu merah besar ikoniknya, yang dianggap sebagai salah satu bangunan paling indah di Sweden, dijangka membuat langkah besar pada 2026.
Tetapi Mari Louise Olsson, yang menjual cenderamata dan kraf tangan asli Sami di kedai tertua di bandar itu, yang ditubuhkan pada tahun 1907, langsung tidak berminat untuk berpindah.
LKAB, yang memiliki premis itu, memberinya beberapa bulan tambahan untuk menyewa ruang itu sebagai pertukaran untuk menerima cek pampasan sekitar 65,000 euro ($70,000) dan sebuah butik moden di pusat bandar baharu itu.
“Saya sangat sedih dan kecewa dengan semua itu,” keluh pekedai berusia 63 tahun itu.
“Lombong itu penting tetapi saya harap mereka akan menunjukkan lebih banyak pertimbangan kepada perniagaan lain.
Ini kerana lombong itu menyebabkan kami tidak dapat tinggal di sini untuk tahun-tahun akan datang,” katanya ketika anak perempuannya melayani pelanggan kedai itu.
Kejiranan zaman kanak-kanak Olsson telah dirobohkan tahun lepas, dan kedainya adalah salah satu kedai terakhir yang masih dibuka di kawasan yang perlahan-lahan menjadi bandar hantu.
“Siapa yang boleh meletakkan tanda harga pada sejarah individu? Ia tidak boleh dibayar dengan wang.
“Ia juga perasaan yang kita ada di sini, di kedai ini. Tiada siapa yang menjaga sejarah ini, walaupun ia sebenarnya wujud.” – AFP