Monday, November 25, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persediaan awal hadapi peperiksaan

    Oleh Kaunselor Kadikita

    Peperiksaan adalah suatu cara yang digunakan bagi menguji serta mengukur kemampuan dan keupayaan seseorang murid dalam memahami apa yang dipelajari.

    Peperiksaan menggalakkan murid untuk sentiasa mengambil berat ilmu yang dipelajari, mendorongnya untuk sentiasa rajin dan fokus dalam pelajaran.

    Murid perlulah bersedia lebih awal bagi menghadapi sesuatu peperiksaan. Persediaan awal yang teratur dan sistematik sangat membantu murid untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

    SEMINGGU SEBELUM PEPERIKSAAN

    (i) Mengulang kaji dan baca nota-nota ringkas dan peta minda.

    (ii) Teruskan membuat banyak latihan. Utamakan mengulang kaji mata pelajaran yang paling lemah dahulu. Belajarlah mengikut jadual belajar yang sudah disusun mengikut keutamaan.

    (iii) Kurangkan melakukan kerja-kerja yang tidak ada kaitan langsung dengan subjek peperiksaan seperti bermain permainan video, lepak dan menonton wayang dan sebagainya.

    (iv) Jaga pemakanan, jaga kesihatan. Elakkan daripada melakukan sesuatu aktiviti yang boleh mencederakan diri sendiri seperti bermain atau mengikuti aktiviti lasak. Banyakkan minum air kosong.

    (v) Kumpul formula-formula mata pelajaran seperti matematik dan kata kunci, singkatan atau akronim penting bagi membantu mengingat sesuatu makna terma bagi mata pelajaran Sains.

    Gambar Freepik

    SEHARI SEBELUM PEPERIKSAAN

    (i) Berehat sedikit, jangan sampai tertekan perasaan.

    (ii) Tenang dan rehatkan fikiran dengan melakukan sedikit teknik latihan pernafasan.

    (iii) Banyak berdoa kepada Tuhan, lazimkan lidah untuk membaca bismillah sebelum memulakan apa saja perkara.

    (iv) Ulang nota ringkas dan peta minda sepintas lalu.

    (v) Sediakan peralatan tulis seperti pen, pensel, pemadam dan lain-lain dengan sempurna dan mencukupi.

    (vi) Tidur dan bangun awal.

    MALAM SEBELUM PEPERIKSAAN

    (i) Baca nota ringkas dan kad-kad ulang kaji.

    (ii) Semak alat-alat tulis dan sebagainya dalam keadaan baik dan mencukupi.

    (iii) Semak tarikh, masa dan tempat daripada jadual peperiksaan serta kod dan angka giliran.

    (iv) Sediakan kad pengenalan, alat-alat tulis, pakaian sekolah dan sebagainya.

    (v) Banyakkan beristighfar dan berdoa agar tenang dan boleh menjawab soalan-soalan dengan baik.

    SEMASA DI DEWAN PEPERIKSAAN

    (i) Duduk dengan tenang.

    (ii) Berdoa.

    (iii) Senyum untuk lebih tenang.

    (iv) Baca keseluruhan kertas soalan dengan teliti.

    (v) Beri perhatian pada arahan guru pengawas peperiksaan.

    (vi) Baca semua soalan dengan teliti. Jika ada sebarang masalah dengan kertas soalan seperti kurang muka surat atau print soalan yang tidak jelas, angkat tangan dan laporkan kepada guru pengawas.

    (vii) Baca sekali lagi soalan yang akan dijawab.

    (viii) Gariskan kata-kata penting.

    (ix) Jawab soalan yang senang terlebih dahulu, jangan buang masa terlalu lama berfikir mencari jawapan. Ingat, setiap detik sewaktu dalam peperiksaan sangat berharga.

    (x) Pastikan tulisan mudah untuk dibaca. Saiz huruf hendaklah sesuai, tidak terlalu kecil.

    (xi) Semak jawapan sekali lagi dalam minit-minit terakhir.

    SELEPAS PEPERIKSAAN

    (i) Jangan memikirkan pencapaian dalam kertas soalan yang lalu. Elakkan dari perasaan bimbang. Apa yang sudah berlalu tidak dapat diperbetulkan lagi.

    (ii) Jangan bincangkan jawapan yang telah diperturunkan. Gunakan masa untuk membuat persiapan bagi mata pelajaran seterusnya.

    (iii) Elakkan daripada membuat perbandingan dengan pencapaian rakan-rakan. Amalan seperti ini akan menyebabkan kamu berasa rendah diri kalau didapati pencapaian rakan itu lebih baik.

    PERANAN IBU BAPA

    Ibu bapa yang baik perlulah membantu dan menyokong anak dalam menghadapi peperiksaan. Antara perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah:

    (i) Sentiasa mendoakan anak agar mudah dalam belajar, senang dalam memahami isi pelajaran dan lancar dalam menjawab soalan dengan tepat sewaktu peperiksaan.

    (ii) Menyediakan menu-menu makanan yang boleh merangsang perkembangan minda anak. Mengelakkan makanan-makanan yang boleh menjejaskan kesihatan dan fokus belajar seperti makanan yang mengandungi gula dan garam yang berlebihan. Berikanlah pemakanan yang sihat dan seimbang. Tambahlah hidangan ikan dalam menu masakan. Ikan mengandungi omega 3 yang sangat diperlukan untuk perkembangan otak. Begitu juga kacang-kacangan dan sayur-sayuran.

    (iii) Sentiasa mengingatkan anak waktu-waktu belajar semasa berada di rumah.

    (iv) Menyediakan tempat belajar yang selamat, selesa serta kondusif untuk anak. Cukup pencahayaan serta terhindar daripada bunyi bising dan hingar-bingar.

    (v) Menyediakan alatan menulis dan kelengkapan untuk peperiksaan seperti pen, pensel, kalkulator dan set geometri matematik.

    (vi) Biasakan untuk bangun lebih awal daripada anak-anak. Berikanlah contoh yang dapat menjadi ikutan anak serta keluarga. Sentiasa mulakan hari dengan bersolat Tahajjud, solat sunat sebelum Subuh dan seterusnya Solat Subuh berjemaah. Banyakkan berdoa sewaktu sujud. Fadilat dan kelebihan-kelebihan yang terkandung di dalamnya amat bermanfaat kepada semua yang melazimkannya terutama kepada ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak untuk menjadi insan yang berguna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda