Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persekitaran kondusif tarik pelabur asing

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Pelan Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada 2021 adalah amat penting sebagai panduan bagi negara ke arah menjadi sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan iaitu Matlamat 3 bagi Wawasan Brunei 2035.

    Ia juga memainkan peranan penting bagi membimbing kita dalam merangka pelan hala tuju perindustrian dan pelan induk sektor utama bagi lima sektor utama yang dikenal pasti iaitu hiliran minyak dan gas, makanan, pelancongan, perkhidmatan dan ICT.

    Perkara itu dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam pembentangannya semasa forum ekonomi bertajuk What is the Economic Blueprint for Brunei: A Dialogue With Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, yang berlangsung di Mutiara Ballroom, Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Dalam pembentangannya lagi, Yang Berhormat Dato berkongsi enam aspirasi Pelan Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam iaitu perniagaan yang produktif dan mantap, warga yang berkemahiran, inovatif dan boleh menyesuaikan diri, ekonomi yang berkaitan global dan terbuka, alam sekitar mampan, infrastruktur ekonomi kompetitif dan berkualiti tinggi serta kecemerlangan perkhidmatan awam dan urus tadbir baik.

    Beliau menyatakan lagi, dengan menumpukan kepada enam aspirasi berkenaan dan menekankan pelan hala tuju perindustrian serta pelan induk sektor utama, terdapat dorongan dan sokongan kuat bagi pertumbuhan sektor swasta.

    Dengan negara menyesuaikan diri kepada norma baharu, Yang Berhormat Dato berkongsi pandangannya bagaimana kerajaan terus mendorong pelaburan langsung asing (FDI) untuk membangunkan aktiviti ekonomi negara ini dengan memastikan sebuah persekitaran perniagaan kondusif bagi perniagaan tempatan dan antarabangsa untuk maju.

    Beliau juga menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN pada 2021, berhasrat untuk mendorong daya tahan dan pertumbuhan sektor swasta jangka panjang dengan menekankan perkara-perkara seperti pendigitalan, daya tahan rantaian bekalan serta perlindungan alam sekitar.

    Forum ekonomi juga dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin, perwakilan-perwakilan dari Kor Diplomatik serta ahli-ahli FBBA.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyampaikan pandangannya pada forum ekonomi, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda