Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Hanya tinggal beberapa hari saja lagi sesi persekolahan 2022 akan bermula dan ibu bapa melahirkan kebimbangan, siapa yang akan memantau anak-anak yang belum mendapatkan vaksin dan membuat pembelajaran dalam talian apabila ibu bapa terpaksa keluar bekerja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap perkara itu pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Yang Berhormat Dato menjelaskan, pada masa ini kapasiti di pejabat dihadkan kepada 75 peratus dan tidak semua yang dapat hadir bekerja pada masa ini.
Dalam perkara ini, beliau menyeru kepada mana-mana pejabat dan pihak swasta supaya dapat memberikan kerjasama apabila sesi persekolahan bermula dan ditambah dengan bagi yang mempunyai anak kecil di rumah akan dapat dipertimbangkan supaya mereka dapat melaksanakan tugas di rumah (WFH).
“Dengan kebenaran kapasiti 75 peratus ini, ia akan diteruskan sehingga 14 Januari 2022 dan akan dilihat perkembangannya selepas itu,” jelasnya.
