STEVNS, DANEMARK – Satu konsert untuk lembu? Gagal mengadakan pertunjukan semasa pandemik, seorang penggesek selo di Denmark beralih kepada penonton yang luar biasa, satu pengalaman sungguh mendatangkan kepuasan sehingga dia masih meneruskannya walaupun selepas dewan konsert telah dibuka semula.
“Menggesek selo untuk lembu merupakan usaha kesinambungan yang sentiasa saya lakukan dalam kerjaya solo saya: Saya amat teruja untuk membawa muzik klasikal keluar dari dewan konsert,” beritahu Jacob Shaw kepada AFP.
Pemuzik British itu, yang juga bekerja sebagai profesor di Akademi Marshall di Barcelona, telah mendirikan sebuah sekolah selo di kawasan desa di Stevns, perjalanan yang mengambil masa satu jam dari selatan Copenhagen, mengadakan persembahan di seluruh rantau.
“Semasa korona, sudah tentunya ia tidak dapat dilakukan dan kami memutuskan untuk beralih kepada perkara lain terbaik, iaitu bermain muzik untuk haiwan,” kata lelaki berusia 30 tahun itu.
Pada musim luruh, beliau memujuk seorang petani yang gemar muzik supaya mendedahkan lembunya kepada muzik klasikal untuk mempertingkat kesejahteraan haiwan berkenaan.

“Apabila dia memberitahu saya mengenainya, saya tidak fikir ia sesuatu yang gila sebaliknya sesuatu menyeronokkan. Saya rasa kesan muzik yang menenangkan dalam badan saya, maka saya fikir lembu juga akan merasa yang sama, dan saya memang betul,” kata Mogens Haugaard.
Lembu pertama diperkenalkan kepada koleksi muzik klasikal menerusi pembesar suara yang dipasang dalam bangsal lembu pada musim sejuk, namun muzik berkenaan dengan segera menyentuh perasaan haiwan-haiwan berkenaan.
“Semua orang boleh melihat sejak dari awal bahawa lembu sukakannya, maka kami meneruskannya selepas itu. Sekarang haiwan tersebut sudah biasa dan hasilnya adalah lembu-lembu ceria dan sihat,” kata penggesek selo, yang juga mengendalikan festival muzik di kawasan Charente di Perancis.
“Lembu-lembu berkenaan adalah lebih tenang dan lebih senang didekati,” kata Haugaard. Malah lembu-lembu juga mempunyai kegemaran mereka, kata Shaw, walaupun jika ia tidak dapat dikesan oleh orang biasa.
“Haiwan berkenaan memberikan reaksi berlainan terhadap muzik berlainan, kami memainkan sesuatu yang agak menarik dan lebih moden dan kebanyakannya tidak suka dan meninggalkan kawasan itu,” katanya.
“Saya fikir jenis muzik yang paling hampir dengan suara haiwan itu, bunyi lembu melenguh, sebenarnya adalah sama dengan bunyi selo, yang merupakan sebab kenapa ia amat popular dengan haiwan berkenaan,” tambahnya.
Sementara ada kalanya beliau keluar untuk bermain sendirian, penggesek itu juga ditemani oleh seorang atau lebih pemuzik yang telah datang untuk meluangkan masa di institusinya, Sekolah Selo Scandinavia, yang dibuka pada 2016.
Menurut Shaw, bermain muzik di ruang terbuka di depan ‘penonton’ yang kurang arif ini membantu artis mengurangkan stres masa pertunjukan.
“Sekiranya mereka berpeluang bermain di depan lembu, saya fikir ia membenarkan mereka berseronok dengan apa yang dilakukan mereka.”
Roberta Verna, penggesek biola berusia 22 tahun, datang ke Stevns untuk ‘mendapatkan perspektif yang berlainan mengenai kehidupan.’
Sambil memegang Stradivarius, Verna, bersama Shaw, memainkan muzik oleh Reinhold Gliere dan Bela Bartok untuk haiwan ruminan, yang nampaknya terharu dengan keindahan melodi sama seperti ketika mereka diberikan makanan.
“Ia merupakan situasi berlainan berbanding biasa, namun bukan teruk. Ia benar-benar menarik kerana haiwan berkenaan benar-benar mendengar. Dan lembu tersebut menghormati kami,” jelas pemuzik muda itu.
Pada akhir konsert selama 15 minit, hari kedua untuk lembu, anak lembu dan lembu dewasa meragut rumput dengan tenang sementara menunggu resital seterusnya.
“Saya rasa ia akan menjadi amat menarik dalam beberapa tahun akan datang: anak-anak lembu akan membesar bersama muzik klasikal…perkara biasa untuk lembu di ladang ini adalah mendengar kepada muzik,” kata Shaw, menambah beliau tidak merancang untuk berhenti. – AFP