Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persembahan maya gabungan 54 negara

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Sekretariat Komanwel mengalu-alukan permohonan daripada semua warga Komanwel termasuk Negara Brunei Darussalam, untuk mewakili negara masing-masing dalam persembahan kebudayaan dan muzikal besar-besaran.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Komanwel, projek bertajuk Uniting the Commonwealth through Music during COVID-19 itu merupakan sebuah acara muzikal yang belum pernah dilaksanakan di mana ia akan menggabungkan suara 54 ahli muzik
    dari 54 buah negara anggota Komanwel dalam satu persembahan maya yang bertenaga.

    Dilaksanakan dengan kerjasama kumpulan muzik profesional, Dionysus Ensemble, projek berkenaan akan menunjukkan kuasa muzik dan seni dalam membangkitkan semangat, meningkatkan kesihatan mental dan menggalakkan rasa persahabatan antarabangsa, dengan negara-negara berkenaan berhadapan cabaran pandemik itu.

    Ketua Pembangunan Dasar Sosial, Sekretariat Komanwel, Layne Robinson menyatakan bahawa ia merupakan peluang yang amat baik bagi rakan-rakan muzik antarabangsa untuk mengetengahkan bakat luar biasa dan kekayaan pelbagai budaya dari 54 buah negara berkenaan.

    Muzik, jelasnya, mempunyai keupayaan untuk menyatakan perasaan yang terpendam semasa keadaan yang mencabar dan tidak menentu di mana mereka meraikan sumbangan kebudayaan, muzik dan kesenian dalam memulihkan serta memberikan inspirasi kepada semangat manusia, dalam sama-sama membina semula kehidupan dan masyarakat kita.

    Projek itu juga akan membantu untuk menjalinkan hubungan dan perpaduan antara penduduk dan komuniti dalam Afrika, Asia, Caribbean dan Amerika, Eropah serta Pasifik.

    Para peserta yang menyertai projek berkenaan akan membuat persembahan melalui lagu yang diterbitkan oleh Dionysus Ensemble dan mereka juga diperlukan untuk merakam video pendek mengenai diri dan komuniti mereka.

    Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Artistik Dionysus Ensemble, Leonie Adams menyatakan bahawa projek itu adalah menyeluruh dan antarabangsa di mana ia bermatlamat untuk mempamerkan kuasa penyembuhan muzik dan peranannya sebagai bahasa antarabangsa bagi kesefahaman, ketenangan dan keriangan.

    “Kami percaya bahawa semua orang dalam Komanwel mempunyai suara mereka tersendiri oleh itu, kami mengalu-alukan pemohon dari setiap warga tua atau muda, miskin atau kaya, warga kota atau kampung, seorang pemula atau profesional,” jelasnya.

    Beliau menyatakan harapan agar projek itu dapat mengetengahkan tradisi muzik yang luas dari kalangan ahli Komanwel.

    Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek berkenaan boleh melayari laman sesawang www.dionysusensemble.com di mana penyertaan adalah sehingga 25 Oktober nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda