Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Lambak tidak ketinggalan untuk meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.
Hadir pada majlis tersebut selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Othman, yang turut menyampaikan hadiah kepada murid-murid yang berjaya dalam acara persembahan dan lakonan pada majlis sambutan berkenaan.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Di-Pertua, Haji Badar bin Haji Mohd Ali; Pengerusi Tetap, Haji Jamal bin Haji Kahar; Setiausaha Agung, Haji Mustapa bin Haji Masri; Setiausaha Kewangan, Haji Juned bin Haji Ramli; Timbalan Setiausaha Agung (Luar Negeri), Haji Yahya bin Haji Mirassn; Guru Besar Sekolah, Dayang Noridah binti Abdullah, mantan-mantan guru besar, guru-guru dan murid-murid sekolah.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Noridah menyatakan majlis itu diadakan bagi melahirkan rasa syukur setelah berjaya mengharungi dan menjalankan ibadah puasa dengan jayanya, mengeratkan hubungan silaturahim kalangan guru-guru dan murid-murid sekolah itu serta menggalakkan kerjasama yang padu sesama warga sekolah dan mencungkil bakat dan potensi para murid dalam aktiviti yang disertai. Majlis mulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan lagu kebangsaan, lagu sekolah dan persembahan murid-murid dari Pra1 hingga Pra3 dan Tahun 1 hingga Tahun 6 serta diteruskan dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada murid-murid yang menyertai persembahan berkenaan.
Majlis sambutan itu merupakan aktiviti tahunan bagi murid-murid, mempersembahkan kreativiti, bakat mereka dalam nyanyian dan lakonan di hadapan guru dan ibu bapa mereka.