Monday, March 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapan menjelang konvokesyen KUPU SB

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Pelbagai acara telah dirancang bagi menyambut Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ke-9 yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas pada 15 Oktober ini.

    Hadir menjelaskan acara-acara tersebut ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Dayangku Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman pada sidang akhbar mengenai majlis tersebut di kolej berkenaan hari ini.

    Menurut beliau, pada majlis itu nanti, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Canselor KUPU SB akan berangkat seterusnya menganugerahkan ijazah dan diploma kepada kira-kira 250 graduan mengikut program masing-masing.

    Sebelum majlis konvokesyen bermula, KUPU SB turut merancang untuk mengadakan majlis tahlil, majlis kesyukuran dan tamat pengajian selain raptai pertama yang dijangka diadakan pada 12 Oktober manakala raptai penuh pada 14 Oktober di ICC. Selain itu, bagi meraikan kejayaan para graduan, majlis makan malam graduan akan diadakan pada sebelah malam 15 Oktober di mana majlis akan diserikan dengan acara penandatangan memorandum persefahaman KUPU SB bersama dengan beberapa universiti-universiti luar, penyam-paian anugerah akademik, sijil kepada para graduan dan pelajar cemerlang.

    Bagi maklumat lanjut atau pertanyaan, bolehlah hubungi Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB di talian 222 5227 atau layari laman sesawang www.kupu-sb.edu.bn.

    Turut hadir pada sidang akhbar itu, Pegawai Penyelidik, Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Awang Mohd Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa selaku timbalan pengerusi Jawatankuasa Kerja Kecil Jemputan Luar Negeri, Media dan Informasi Majlis Konvokesyen ke-9 KUPU SB.

    Dayangku Siti Katijah semasa menyampaikan penerangan mengenai atur cara majlis konvokesyen KUPU SB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda