Thursday, December 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapkan perkhidmatan awam hadapi cabaran

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Pertukaran Perkhidmatan Awam Brunei-Singapura Eselon Kedua (CSEP) ke-20 membawa tema ‘Kedayatahanan dalam Sebuah Dunia yang Berubah’, yang bukan sahaja dipilih sebab gangguan yang masih dibawakan pandemik COVID tetapi disebabkan cabaran-cabaran global lain termasuk kadar inflasi yang pesat meningkat serta peningkatan kesan perubahan iklim.

    Dalam hubungan itu, adalah lebih penting sekarang bagi negara-negara untuk bersiap sedia bukan sahaja untuk menghadapi cabaran-cabaran berkenaan tetapi juga yang belum diketahui pada masa hadapan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin dalam kata alu-aluannya pada Majlis Perasmian CSEP ke-20 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), hari ini.

    Beliau menerangkan dalam program-program terdahulu, kedua-dua buah negara telah berkongsi dan membincangkan perkara yang berkaitan dengan pemulihan daripada pandemik.

    Oleh itu, ulasnya lagi, keperluan untuk memupuk dan meningkatkan kedayatahanan dalam sektor awam telah menjadi mandat penting dan kekal relevan hari ini, dengan kita berusaha bukan sahaja melalui krisis dan kembali kepada sebelumnya tetapi juga berupaya berubah serta menyesuaikan diri kepada gangguan berkenaan.

    Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Delegasi Singapura pada perasmian CSEP ke-20 kelmarin.
    Awang Ajman bergambar ramai dengan para peserta dari Brunei dan Singapura semasa program yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, kelmarin.

    Sepanjang program empat hari itu, pelbagai agensi daripada sektor awam dan swasta telah dijemput untuk berkongsi mengenai topik yang relevan dan kritikal yang memberikan impak kepada kedayatahanan kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya seperti perkhidmatan digital, kepelbagaian ekonomi, sekuriti makanan serta pembangunan dan pendidikan belia.

    Topik-topik berkenaan, tekan Awang Ajman, merupakan antara elemen utama dalam memastikan Brunei mampu bertahan atau mengurangkan impak yang timbul daripada cabaran-cabaran masa hadapan.

    Program itu disertai oleh 11 orang pegawai kanan daripada perkhidmatan awam Singapura dan 11 orang pegawai kanan daripada perkhidmatan awam Brunei di mana bagi 2023, program berkenaan dikendalikan secara fizikal bermula hari ini hingga 2 Februari setelah dua program terdahulu sebelum ini telah dikendalikan secara maya.

    Program itu menyediakan peluang bagi delegasi kedua-dua buah negara untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam mempersiapkan perkhidmatan awam masing-masing untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran masa hadapan dan kini dalam sebuah dunia di mana perubahan sentiasa berlaku.

    Ia merangkumi kuliah oleh agensi-agensi yang relevan, perbincangan strategik dengan kementerian-kementerian dan perjalanan pembelajaran ke beberapa Kawasan Pembangunan Pertanian (KPP) di bawah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

    Pada 2024, CSEP akan dihoskan oleh Singapura dan pegawai-pegawai kanan dari Negara Brunei Darussalam akan berkunjung ke Singapura untuk menyertainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda